‘Jalan Terbaik PAS Atau DAP Kena Angkat Kaki’

SHAH ALAM – Perbalahan yang berlaku antara rakan PR iaitu Pas dan DAP dilihat sebagai krisis keyakinan serta kepercayaan sesama mereka.

 

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, masing-masing mula mempersoalkan dasar bersama ketika mula bergabung dahulu.

 

“Ini termasuk mengenai hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kini tidak lagi mahu berkompromi.

 

“Isu PBT kali ini, dilihat masing-masing seakan mahu menutup kesilapan. Ada kata ia dasar dan ada kata tidak, jadi seolah-olah krisis keyakinan dan kepercayaan sesama mereka telah berlaku,” katanya.

 

Beliau berkata demikian mengulas perbalahan Pas dan DAP beberapa tahun ini dalam PR yang mungkin jejaskan hubungan dua parti itu.

 

Mengulas lanjut kata Sivamurugan, tidak dinafikan krisis yang melanda PR kini semakin parah, namun beliau yakin kedua-dua parti itu tidak akan meninggalkan PR.

 

“Sememangnya jika dilihat pihak luar, jalan terbaik mereka (Pas atau DAP) adalah angkat kaki kerana krisis yang berterusan boleh mengelirukan ahli.

 

“Namun masalah lain akan timbul (jika Pas atau DAP keluar PR) bukan sahaja sesama barisan parti tetapi dalam parti sendiri akan wujud puak-puak sehingga melemahkan parti itu sendiri,” katanya.

 

Mengulas mengenai keyakinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dibebaskan daripada tuduhan liwat seterusnya kekal dengan jawatan itu, kata Sivamurugan, mungkin kredibilitinya sekarang sukar untuk diganti pemimpin lain.

 

“Mungkin beliau yakin dengan dirinya kerana masih belum ada calon sesuai menggantikannya yang perlu mainkan peranan dan dapat melahirkan kepercayaan sebagaimana tanggungjawab yang dipikul kini.

 

“Tambahan jika disabit bersalah juga, beliau masih boleh memberi arahan dari dalam penjara dan PR masih boleh meneruskan agenda sebelum ini,” katanya.

 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir turut yakin Pas dan DAP akan tetap berada dalam PR walaupun sering bertelagah.

 

“Saya tidak percaya mereka akan ambil keputusan untuk keluar daripada PR. Ini sesuatu yang normal dalam mana-mana hubungan parti kerana sesuai dengan ideologi parti.

 

“Tetapi di sini bermula titik tidak ada persamaan antara mereka, walaupun ini kelihatan konflik yang mungkin tiada kesudahan tetapi kedua pihak perlu  kembali kepada kebijaksanaan dan rasional,” katanya.

 

Jeniri berkata, isu yang membuatkan pertelagahan itu perlu diredakan segera kerana bimbang akan mengundang risiko lebih besar kepada parti.

 

“Terutama dari segi sokongan dan kepercayaan ahli serta pengundi. Pimpinan tertinggi Pas dan DAP perlu kembali ke meja rundingan.

 

“Untuk mereka ambil keputusan keluar PR, ia akan beri kesan lebih besar dalam konteks sokongan pilihan raya akan datang dan pencapaian prestasi tidak akan sebaik ketika ini,” katanya.

 

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Sivamurugan mengenai keyakinan Anwar kerana sebagai ketua pastinya keyakinan untuk bebas dan kekal dengan jawatan itu masih tinggi.

 

“Psikologi orang yang berada dalam situasi beliau (Anwar), tentu berasa yakin akan bebas dan menolak rasa putus asa.

 

“Walaupun mungkin bahawa keputusan tidak memihak kepadanya, sekurangnya beberapa hari ini, beliau masih bergantung kepada keputusan itu,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.