IS Kejam Dan Keji – Abe

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semalam mengutuk tindakan kumpulan militan Islamic State (IS) memenggal kepala tebusan kedua Jepun sebagai “amat kejam dan keji”.

 

IS mendakwa dalam satu klip video yang disiarkan di internet kelmarin bahawa ia telah membunuh tebusan berkenaan, Kenji Goto, 49, tetapi tidak menyebut mengenai nasib seorang juruterbang Jordan yang turut ditawan.

 

Goto yang merupakan seorang wartawan perang dan memakai sut kuning kelihatan berlutut di sisi seorang lelaki berpakaian hitam dan menutup mukanya.

 

Lelaki itu yang bertutur dalam loghat Britain dan dipercayai pernah muncul dalam beberapa klip video pembunuhan tebusan oleh IS.

 

Dalam rakaman itu yang ditujukan kepada Abe, dia memberitahu bahawa pembunuhan Goto berpunca daripada keputusan “cuai” kerajaan Jepun.

 

Tokyo sebelum ini menyalurkan dana untuk membantu pelarian yang melarikan diri dari wilayah yang dikuasai IS di Syria dan Iraq.

 

Mengulas kematian Goto, Abe yang hampir bergenang air mata berikrar tidak tunduk terhadap tuntutan IS.

 

“Saya amat marah dengan tindakan pengganas ini (IS) yang amat kejam dan keji. Kami tidak akan memaafkan mereka,” katanya kepada sekumpulan wartawan di luar pejabatnya di sini semalam.

 

Menurut Abe, Jepun tetap akan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Asia Barat.

 

Dalam pada itu, Jordan semalam bersedia untuk menyerahkan seorang militan Iraq yang dipenjarakan di negara itu jika IS membebaskan juruterbangnya, Muath al-Kasaesbeh.

 

Amman menyatakan, pihaknya bersedia untuk membuat pertukaran tersebut walaupun selepas IS bertindak memenggal kepala Goto.

 

“Agensi keselamatan dan tentera Jordan sentiasa memeriksa sama ada Muath masih hidup,” kata jurucakap kerajaan, Mohammad al-Momani.

 

Muath ditangkap oleh IS pada Disember lalu apabila jet pejuang F-16nya terhempas di wilayah yang dikuasai kumpulan militan itu di Syria. – Agensi/ Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.