Dottie Akur Saiz Badan Jadi Ukuran, Punca Kurang Dapat Tawaran

Petaling Jaya – Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Dottie iaitu Nur Syuhaida menjelaskan wajahnya jarang muncul di televisyen menerusi projek terbaharu kerana peranan untuk aktres bersaiz sepertinya tidak banyak ditawarkan oleh produksi tempatan.

 

Nor Syuhaida atau nama sebenarnya Nor Syuhaida Ab Razak, 27, berkata, biarpun terpaksa akur dengan situasi berkenaan namun dia tidak pernah berputus asa untuk meneruskan karier sebagai pelakon.

 

“Selepas Dottie saya akui karier agak perlahan sedikit kerana banyak peranan tidak sesuai dengan saiz badan saya namun ia tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus berada dalam industri.

 

“Saya masih aktif berlakon dan tawaran masih ada cuma terhad,” katanya kepada mStar Online.

 

Bagaimanapun kata Nor Syuhaida, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana produksi yang enggan mengambilnya berlakon kerana mereka berhak menentukan barisan pelakon untuk menjayakan sesuatu drama itu.

 

Malah katanya, dia juga menjelaskan tidak pernah menjadi mangsa diskriminasi sehingga tidak mendapat tawaran berlakon hanya kerana bentuk tubuhnya.

 

Sementara itu, Nor Syuhaida berkata, dia tidak berkecil hati apabila masih ada peminat yang memanggilnya dengan nama Dottie biarpun drama bersiri lakonan bersama Sharnaaz Ahmad itu sudah berakhir lima tahun lalu.

 

“Tiada sebab untuk saya berasa kecil hati kerana Dottie semenangnya telah meninggalkan impak besar dalam karier saya sebagai pelakon sehingga ia masih diingati sehingga kini.

 

“Memang orang masih panggil saya dengan nama itu dan kebiasaannya apabila mereka panggil saya Dottie saya akan beritahu nama sebenar saya,” jelasnya. – mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.