Diugut Bunuh Kerana Teman Wanita

Senawang – Gara-gara terlalu percaya dengan teman wanita, seorang ahli perniagaan terpaksa berhadapan dengan gangguan dan ugutan bunuh peminjam wang atau ah long.

 

Ini kerana, bekas kekasihnya itu sebelum ini membuat pinjaman daripada beberapa ah long menggunakan alamat rumah lelaki tersebut.

 

Mangsa, Woo Kean Huat, 44, berkata dia, sebelum ini tinggal bersama dengan bekas teman wanitanya berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Alice selama hampir dua tahun.

 

Dalam tempoh masa itu, katanya, wanita tersebut telah menukar alamat di kad pengenalan kepada alamat rumahnya di Taman Seremban Jaya, di sini.

 

“Saya tidak sangka pula dia telah salah gunakan alamat saya sehingga memberi kesan kepada kami sekeluarga.

 

“Alice dipercayai meminjam wang daripada ramai ah long, bukan sahaja di Seremban tapi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Saya percaya jumlah pinjamannya mencecah puluhan ribu ringgit.

 

“Sekarang ini, ramai ah long dari kumpulan berlainan mencari dia di rumah saya, sedangkan dia tidak tinggal di sini lagi. Selepas saya mengetahui perkara ini, saya minta dia keluar dari rumah sejak dua bulan lalu,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun Alice sudah meninggalkan rumah, ia tidak dapat menyelesaikan masalahnya, sebaliknya banyak kejadian menakutkan dia sekeluarga telah berlaku, malah enam laporan polis sudah dibuat bagi mendapatkan perlindungan.

 

“Kejadian pertama pada 12 Januari lalu, apabila terdapat bungkusan merah ditinggalkan di depan pagar dengan tulisan meminta bayar semula wang atas namanya.

 

“Jumaat lepas, rumah saya disimbah pula dengan cat merah dan terdapat surat yang meminta supaya bekas teman wanita saya itu membayar semula wang.

 

“Sebelum itu, rumah saya juga kerap kali diganggu dan didatangi beberapa individu tidak dikenali, dipercayai dari kumpulan ah long yang berlainan,” katanya.

 

Kata Kean Huat, bukan sahaja mengganggu mereka di rumah, tetapi kumpulan ah long ini juga sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya yang berunsur ugutan bunuh dan mahu membakar kedai mereka di Kawasan Perindustrian Senawang.

 

Menurutnya, dia cuba menghubungi bekas kekasihnya itu, namun sia-sia kerana dia tidak dapat dikesan. – SH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.