Ayah Masih Sihat, Cuma Mungkin Kerana Faktor Usia – Putera Hang Jebat

Kuala Lumpur – “Ayah masih sihat, makan dan minum macam biasa cuma mungkin kerana faktor usia makan tak banyak seperti dulu.”

 

Itu kata anak seniman Tan Sri Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat mengenai keadaan kesihatan bapanya yang kini menjadi perbualan hangat di laman sosial berikutan penyebaran foto terbaru bekas senator itu.

 

Beberapa laman blog melaporkan keadaan bapanya kelihatan semakin uzur berdasarkan foto yang didakwa diambil daripada laman sosial.

 

Menurut Putera Hang Jebat, bapanya yang berusia 80 tahun tidak ada penyakit lain selain Alzheimer yang dihidapi sejak 2011 dan kini dijaga dengan baik oleh ibunya Puan Sri Halijah Abdullah di rumah mereka di Hulu Kelang, Selangor.

 

“Saya tidak pasti bagaimana gambar berkenaan boleh tersebar namun saya sedikit terkejut kerana ia menunjukkan seolah-olah ayah dalam keadaan sangat uzur sedangkan dia masih sihat di rumah.

 

“Biasalah bila dah berumur mungkin selera makan tak macam dulu sebab itu nampak kurus,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

 

Katanya lagi dia datang melawat bapanya setiap hari kerana kebetulan pejabat terletak berhampiran namun kadangkala bekas bintang filem era 60-an itu tidak mengenalinya berikutan penyakit Alzheimer yang dihidapi.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi akan menziarahi Jins pagi ini (Isnin) untuk bertanya khabar selain mendapatkan perkembangan terkini seniman veteran itu.

 

“Sebenarnya sebelum ini kita sudah beberapa kali bertemu beliau dan Alhamdulillah beliau sihat, cuma mungkin keadaan terbaru kita tidak pasti kerana berdasarkan gambar nampak kurus sedikit.

 

“Apapun saya dan rakan-rakan akan mendapatkan maklumat daripada keluarga beliau terlebih dulu dan akan memberi bantuan sewajarnya jika diperlukan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.