ATM Buat Persediaan, Ancaman Pengganas Di Sabah Jadi Keutamaan

Kuala Lumpur –  Persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap sebarang ancaman pengganas di Sabah terus menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan.

 

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Malaysia berkata, beberapa pegawai kanan Kementerian Pertahanan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Datuk Dr Rothiah Omar mengadakan lawatan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Sabah, sejak Khamis lalu.

 

Menurutnya, lawatan kerja itu dilakukan bagi meninjau kemajuan usaha penambahbaikan dan kesiapsiagaan aset pertahanan ATM di Sabah.

 

“Lawatan kerja itu adalah susulan lawatan dilakukan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Sabah pada 23 hingga 25 Januari lalu.

 

“Ini penting bagi memastikan arahan Menteri Pertahanan sebelum ini diambil tindakan segera,” katanya.

 

Menurutnya, taklimat dan lawatan diadakan di tapak kemudahan perpindahan pembangunan dan peningkatan infrastruktur pesawat Hawk dan EC725, projek penambahbaikan dan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) semasa di Pangkalan TUDM, Labuan.

 

“Selain itu tinjauan tapak dilakukan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah bagi cadangan pembinaan RKAT, menaik taraf infrastruktur kapal selam Scorpene serta pembinaan semula jambatan utama menghubungkan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ke Bandaraya Kota Kinabalu.

 

“Lawatan susulan itu menggambarkan kesungguhan dan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan untuk melakukan persediaan rapi termasuk dari segi aset dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan pertahanan bagi menangani ancaman sekiranya berlaku di Sabah,” katanya.

 

Hishammuddin dalam lawatannya sebelum ini mahu Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepangar,Sabah, dilengkapi Sistem Pertahanan Udara canggih bagi menangani ancaman semasa di Laut China Selatan dan perairan Sabah Timur. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.