Tolong Berhenti Bergaduh, Politikkan Semua Isu, Rayu TMJ Pada PH

SHAH ALAM – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menegur kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan kali ini ‘merayu’ agar gabungan itu menghentikan perbalahan sesama sendiri dan mempolitikkan semua perkara. 

Menulis di Facebook, TMJ berkata adalah mengecewakan apabila kerajaan yang patut memberi khidmat kepada rakyat masih lagi bercakaran sesama sendiri.

“Saya benar-benar mahukan kerajaan untuk berjaya. Saya bangun setiap hari dengan harapan bahawa pendapat saya salah. Tetapi, mereka tetap membuktikan saya betul. 

“Saya lakukan perkara yang sama dengan kerajaan lama. Dan saya sedang lakukan perkara yang sama pada masa ini. Tiada beza. Sekadar mahukan yang terbaik untuk rakyat. Sesetengah mungkin tidak suka apa yang saya katakan tapi itulah cabarannya. 

“Untuk terus bersuara demi rakyat yang tidak dapat menyuarakannya. Biarkan saya menjadi musuh anda No.1 sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya. Tolong… Tolonglah mulai mentadbir. Tolong berhenti berperang antara satu sama lain, Tolong berhenti mempolitikkan setiap isu,”tulisnya.

Putera Sultan Johor itu juga berkata, semua orang melakukan kesilapan dan perlu mengakuinya, termasuklah dirinya sendiri.

Memasuki tahun baru, kata TMJ, adalah masa untuk kerajaan memperbetulkan situasi.

“Kini sudah 2019, ayuh kita lakukan yang sepatutnya sekarang. Ayuh kita kurangkan berpolitik. Ayuh kita kurang mempopularkan apa yang ada di media sosial. 

“Ayuh kita melakukan keputusan yang lebih baik. Ayuh kita bekerjasama dan menghormati ruang dan tugas masing-masing. Ayuh kita berkhidmat kepada rakyat dan melaksanakan yang terbaik untuk negara kita,” katanya lagi.

TMJ sememangnya dikenali sebagai antara kerabat diraja yang lantang memberikan kritikan khususnya menerusi laman sosial.

Antaranya, TMJ pernah mengkritik ‘individu yang berumur 93 tahun ingin menjadi Perdana Menteri’ sebelum PRU14 lalu yang dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baginda juga memperli PH mengenai isu tol kerana masih belum mengotakan janji untuk menghapuskannya sebagaimana sebelum PRU lalu.

Baru-baru ini pula baginda lantang menyekolahkan menteri PH berhubung isu Pulau Kukup di Pontian, Johor.

Disebabkan kelantangannya itu, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyarankan baginda agar ‘turun singgahsana’ untuk menjadi tokoh politik sepenuh masa. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.