Suaram Kecam Kenyataan Muhyiddin Mahu Kekalkan Sosma, Poca

SHAH ALAM – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam keputusan kerajaan untuk mengekalkan dua undang-undang keselamatan sebagaimana yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, dua undang-undang tersebut iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) perlu dimansuhkan kerana ia adalah janji Pakatan Harapan (PH).

Menurut kumpulan hak asasi manusia itu, tindakan mengekalkan dua undang-undang iu menunjukkan PH mengabaikan janji-janji pilihan raya mereka dengan menggunakan kewajaran sama untuk mengekalkan undang-undang era BN itu.

“Tuntutan masyarakat sivil tentang perkara ini mudah. Mansuhkan Sosma dan Poca – beri peluang pada tahanan untuk pertahan diri di mahkamah secara adil, selari dengan prinsip hak perbicaraan adil. 

“Jika ini gagal dibuat, Pakatan Harapan patut berhenti berlagak bagus dan mengakui mereka tidak berbeza pun dengan BN,” katanya.

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, Ahad lalu berkata dua undang-undang itu akan dikekalkan dengan pindaan, bagi menjamin keamanan dan keharmonian negara. 

Kata Muhyiddin, hasil dapatan sebuah jawatankuasa yang dibentuk mendapati undang-undang seperti Sosma dan Poca adalah penting dan harus dipertahankan walaupun mungkin memerlukan beberapa pindaan kelak.

Susulan kenyataan itu, beberapa pihak tampil membantah dan mempersoalkan langkah kerajaan untuk mempertahankan undang-undang yang didakwa tidak adil itu.

Antaranya, bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang menyifatkan Sosma dan Poca sebagai undang-undang yang “buruk” dan tidak boleh dipinda kerana undang-undang itu mengenakan penahanan tanpa perbicaraan.

Selain itu, aktivis Lawyers For Liberty N Surendran dan Latheefa Koya turut tIdak bersetuju dengan langkah kerajaan yang disifatkan mungkir janji kerana membuat pusingan U.  -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.