Pelanggan Ada Yang Maki Bila Ditegur Jangan Merokok

MELAKA: Larangan merokok di restoran dan gerai makan yang mula berkuat kuasa semalam, mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan peniaga.

Pada masa sama, ada peniaga yang turut berdepan dengan makian apabila menegur pelanggannya supaya tidak merokok di meja makan, sebaliknya meminta mereka ke zon merokok yang terletak berhampiran dengan restoran.

Pengurus Restoran Madinah Melaka Raya, Abdul Salam Ahmad, 47, berkata seorang pelanggannya merungut dan hampir naik angin apabila ditegur supaya tidak merokok di dalam premis selepas menjamu selera di restorannya, kira-kira jam 2 petang semalam.

“Larangan ini ada juga baiknya, selain tidak mengganggu pelanggan lain yang sedang menikmati makanan, ia juga memberi kesan positif kepada faktor kebersihan kedai kerana jika sebelum ini puntung dan habuk rokok bersepah di lantai, tetapi sejak semalam ia tidak ada lagi.

“Alhamdulillah, rata-rata pelanggan yang saya tanya menyambut baik larangan merokok di premis saya dan kebanyakan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Peniaga gerai makan, Khalil Mamat, 52, berkata larangan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada perniagaannya kerana kebanyakan pelanggannya seperti sudah faham mengenai larangan merokok di premis makanan.

Beliau yang menjalankan perniagaan pisang goreng, makanan dan minuman di Taman Pulai Indah, Serkam, di sini, bagaimanapun berkata, terdapat juga dalam kalangan pelanggannya yang tidak menghiraukan larangan itu dengan merokok di meja makan.

“Takkan pula saya hendak tegur mereka, nanti mereka tak mahu datang lagi ke kedai saya. Saya mengutamakan kepuasan pelanggan,” katanya. – BERITA HARIAN

One thought on “Pelanggan Ada Yang Maki Bila Ditegur Jangan Merokok

  • January 4, 2019 at 1:21 pm
    Permalink

    Perokok2 mesti ikut undang? Hormati undang2 juga org2 disekeliling! Isap rokok vape tempat lain??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.