Naib Presiden PPBM Perlu Digugur Dari Jawatankuasa Pembaikan Pilihan Raya

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman perlu digugurkan daripada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), susulan cadangannya mengembalikan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata PH dan parti komponennya perlu mengamalkan politik yang betul, dengan mengadakan mesyuarat segera dengan kepemimpinan tertinggi PH selepas Rashid, mengeluarkan kenyataan itu.

“Kepemimpinan tertinggi PH perlu panggil mesyuarat segera, sama ada untuk menolak atau menggugurkan kenyataan Abdul Rashid.

“Tindakan lain adalah (Rashid) digantung atau dipecat daripada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

“Tindakan ini selaras fokus pemimpin Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang memberi amaran supaya tiada lagi politik wang dan rasuah pilihan raya atau kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan Naib Presiden Bersatu dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, yang mahu JPP dikembalikan supaya ketua bahagian dan cawangan parti diberikan projek kerajaan.

Cadangan Rashid ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Kedua, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dua hari lalu, mendapat sokongan dan tepukan gemuruh perwakilan yang hadir.

Lian Ker berkata, Rashid sewajarnya membincangkan cadangan itu di peringkat dalaman parti dan antara kepemimpinan tertinggi parti terlebih dahulu, sebelum membuat cadangan secara terbuka ketika penggulungan perhimpunan agung.

“Jelas, kenyataan itu bertentangan dengan amalan parti (BERSATU) dan PH.

“Adakah sokongan yang beliau terima ini, mempersendakan politik Malaysia Baharu?

“Cadangan beliau tidak wajar dibincangkan dalam Kabinet. Beliau seolah-olah cuba merendahkan status dan fungsi Kabinet,” katanya.

Lian Ker berkata, Kabinet sewajarnya membincangkan isu negara dan kejatuhan mendadak ekonomi negara, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

Katanya, Kabinet juga sewajarnya melaporkan sebarang isu salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan segera.

“Cadangan beliau (Rashid) berbeza dengan janji kepada rakyat, yang memilih menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dituduh mengamalkan amalan sedemikian,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.