Kos ECRL RM55 Bilion Bukan RM81 Bilion

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana  Menteri Najib Razak sangsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membina Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Antara propaganda PH yang saya paling hairan mengapa ramai boleh percaya ialah propaganda bahawa projek ECRL akan menyebabkan Malaysia tergadai atau terpaksa pajak tanah kita kepada China seperti Sri Lanka,” kata Najib dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Najib kos ECRL sebenar adalah sebanyak RM55 bilion tetapi PH mendakwa ia kini melonjak kepada RM81 bilion.

“Jika mereka dengan senang-senang boleh jarah RM82 bilion dari Petronas untuk tahun lepas dan tahun ini, kos RM55 atau RM81 bilion ECRL sudah tentu boleh dibayar sekaligus.

“Tidak kira dana-dana yang lain, rizab wang tunai Petronas pun sudah mencecah RM170 bilion sebelum PRU14,” kata Najib.

Terdahulu, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata projek ECRL yang digantung pada Julai lepas, boleh diteruskan pada skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju.

Mahathir juga mengakui kedua-dua negara masih berbincang mengenai perkara itu dan belum mencapai penyelesaian yang terbaik.

Malaysia, kata Mahatahir berada dalam dilema antara membayar ganti rugi besar sebaik sahaja projek itu ditamatkan atau menghadapi kekangan kewangan jika projek itu diteruskan.

Menurut Najib lagi, kerajaan PH sanggup kerugian RM40 bilion akibat langkah memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan memberi pelepasan selama tiga bulan tanpa cukai pada tahun ini.

“PH juga sanggup hilang hasil sekurang-kurangnya RM25 bilion setiap tahun akibat ganti GST dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan).

“Tentu kos ECRL dengan mudah dapat dibayar sepenuhnya dalam masa 3 atau 4 tahun sahaja hanya dari perbezaan hasil GST dengan SST?” katanya.

Pada November lalu Petronas mengumumkan akan membayar tambahan RM30 bilion dalam bentuk dividen khas di bawah Belanjawan 2019.

Ini bagi membantu kerajaan membayar tunggakan bayaran balik GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Selain itu, kata Najib banyak lagi rizab dan dana kerajaan yang berjumlah ratusan bilion tersimpan dalam Khazanah dan Bank Negara.

“Amat susah bagi saya untuk percaya mengapa ramai rakyat Malaysia boleh diperdaya dan percaya propaganda PH bahawa Malaysia akan menjadi Sri Lanka kerana projek ECRL.

“Itu Sri Lanka, ini Malaysia,” kata Najib.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.