Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mahu menurunkan harga petrol dan diesel tetapi pada masa sama perlu mengambil kira masalah dihadapi golongan pengusaha berkenaan.

“Kita suka nak turun (harga minyak) tapi orang yang jual minyak pun nak kena buat duit sikit, kalau dia tak buat duit, dia tak jual minyak dan kita pun tak dapat minyak. Jadi, kita kena pertimbang antara pembeli de­ngan penjual.

“(Lagipun) kita belum buat keputusan (harga), esok hari kita ada mesyuarat Kabinet dan kita akan tentukan harga mi­nyak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada 226 orang pelajar sekolah dalam program Back to School di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, di sini, semalam.

Semalam, Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng mengumumkan harga runcit minyak tidak akan berubah pada minggu pertama 2019 dengan RON97, RON95 dan diesel masing-ma­sing kekal pada harga RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Sementara itu, dalam isu lain, Dr. Mahathir menyambut baik hasrat rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong yang mahu menangani semua isu-isu baharu dan yang sedang dihadapi antara kedua-dua negara itu secara tenang dan konstruktif.

Beliau berkata, Malaysia mem­punyai hubungan yang baik de­ngan Singapura, namun mengakui kadangkala terdapat masalah dengan republik itu yang diselesaikan secara rundingan.

“Saya mengalu-alukan ke­nya­­taan terbuka beliau. Ya, kita mempunyai hubungan baik dengan Singapura, ada masalah tapi boleh diselesaikan dengan rundingan dan bukan secara konfrontasi atau kecaman melalui media,” katanya.

Hsien Loong dalam amanat tahun baharunya berkata, Si­ngapura dan Malaysia perlu menyelesaikan masalah-masalah dan memelihara hubungan secara keseluruhan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Singapura akan bekerjasama rapat bagi memastikan hubungan dengan Malaysia stabil menerusi kesaksamaan dan saling menghormati serta menjunjung komitmen antarabangsa dan keluhuran undang-undang. – UTUSAN ONLINE