“Kami Juga Berhak Dilindungi”, Nisha Ayub Gesa Kerajaan Perkenal Undang-undang Jenayah Kebencian Transgender

SHAH ALAM – Aktivis hak asasi manusia yang merupakan seorang transgender, Nisha Ayub menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang jenayah kebencian transgender, bagi melindungi komuniti berkenaan.

Nisha menyuarakan perkara itu susulan kes bunuh terbaharu membabitkan seorang transgender di Klang, awal pagi semalam.

“Adalah amat membimbangkan melihat jenayah disasarkan kepada komuniti ini.

“Kita perlukan undang-undang yang melindungi orang, undang-undang yang menangani jenayah kebencian terhadap identiti gender atau seksualiti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Pada 24 Disember lalu, empat individu didakwa di mahkamah berhubung kes kematian transgender yang didakwa akibat dibelasah di hadapan hotel di Bandar Bukit Tinggi Klang.

Mangsa yang berasal dari Sabah parah selepas dibelasah menggunakan senjata tumpul di hadapan hotel berkenaan pada 12 Disember lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Komuniti transgender merupakan sasaran mudah kerana kami mudah dicam. Saya meminta kerajaan untuk melihat isu komuniti mak nyah bukan dari segi identiti tapi sebagai manusia yang layak dilindungi dan diberikan peluang yang sama seperti orang lain. Ini hanyalah menyebut beberapa kes yang dilaporkan mengenai pembunuhan transgender. Kita perlu hentikan perkara ini,”kata Nisha lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya sudah menahan seorang suspek lelaki berumur 55 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh transgender yang dilaporkan meninggal dunia pagi semalam.

Jelas Shamsul, berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa terlibat dalam pertengkaran dengan mangsa di dalam kereta kerana menuduh transgender itu mencuri telefon bimbitnya.

“Transgender itu tidak mengaku dan suspek mendakwa dia melompat keluar dari kereta yang sedang dipandunya,” katanya.

Katanya lagi, bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas jatuh dari kenderaan yang bergerak.

Berdasarkan laporan itu, tiada tanda pada tubuh mangsa yang menunjukkan pergelutan.

Polis juga katanya sudah menyita sebuah kenderaan Toyota Harrier dan akan menahan reman lelaki itu sehingga Selasa depan.

Pihaknya juga menolak kebencian terhadap transgender sebagai motif jenayah.

Dalam pada itu, menerusi hantaran berasingan, Nisha menyelar sikap pelaku jenayah itu yang dakwanya bertindak sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan melompat keluar daripada kereta.

“Individu mana yang akan bertindak balas sebegitu jika bukan kerana rasa takut atau untuk mengelakkan daripada diserang?

“Mengapa tidak pelaku itu memberhentikan kenderaannya dan menyelamatkan mangsa, atau setidak-tidaknya menunggu di lokasi kejadian membuat panggilan kepada ambulans atau polis jika bukan salahnya?

“Mengapa hanya kerana pertengkaran mengenai kecurian telefon bimbit menyebabkan kehilangan tragik ini?,” soalnya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.