Anwar Mahu Tun M Diberi Ruang Pimpin Kerajaan

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin yang dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-8, bertegas agar Tun Dr Mahathir Mohamad diberi ruang untuk memimpin kerajaan kini.

“Tun Mahathir perlu diberi ruang untuk memimpin kerajaan bagi tempoh yang kami persetujui bersama. Beliau mempunyai sokongan padu PH (Pakatan Harapan),” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan selama sejam bersama Dr Mahathir.

Anwar bagaimanapun tidak menjelaskan jangka masa ‘yang dipersetujui’ bersama Pengerusi PH itu. 

Isu tempoh perjawatan itu kembali timbul selepas beberapa perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berbahas pada perhimpunan agung parti hujung minggu lalu mengusulkan agar Dr Mahathir dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

PH sebelum ini menamakan Anwar yang juga Presiden PKR sebagai pengganti Dr Mahathir bagi jawatan perdana menteri.

Baru-baru ini Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata gabungan itu tidak pernah membincangkan tempoh Dr Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri di dalam mesyuarat presidennya.

Beliau sebaliknya berkata, gabungan itu cuma membuat keputusan bahawa Anwar akan diangkat ke jawatan tersebut selepas Dr Mahathir.

Menerusi wawancara Sin Chew Daily baru-baru ini, Dr Mahathir menegaskan akan melaksanakan janjinya dan berkata Anwar tidak pernah meminta untuk mengambil alih jawatan lebih awal dari tempoh dua tahun.

Dalam pada itu Anwar berkata, pada pertemuan tersebut juga beliau membincangkan perjumpaannya baru-baru ini dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, di samping meminta nasihat Dr Mahathir mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi yang dijadual berlangsung minggu depan.

Antara perkara lain yang dibincangkan,  Anwar berkata beliau dan Dr Mahathir bersetuju dengan strategi mengenai Singapura, dan mereka berdua mahu memberi fokus kepada ekonomi, termasuk masalah kemiskinan dan ketidakadilan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.