Nora Menghitung Bahagia

Hampir sembilan tahun hidup pelakon kecil molek, Nora Danish Mohd Hanif tidak dihiasi suara dan tawa seorang bayi. Bagaimanapun, situasi itu bakal berubah pada Mac depan.

Nora mengakui bahawa perasaannya bercampur baur menanti si kecil sulung hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Nedim Nazri Aziz yang dinikahi pada 30 Mac lalu meskipun ini bukanlah kehamilan atau anak pertamanya.

Hal ini kerana perbezaan usia dan jarak waktu hamil yang mencecah hampir 10 menjadikan ia suatu pengalaman berbeza berbanding sewaktu mengandungkan anak sulungnya, Putra Rayqal Rizal Ashram, 8.

Kata pelakon Polis Evo itu lagi, bagi kandungan keduanya ini, keadaan kesihatannya sedikit mencabar dan membataskan pergerakan dalam menjalani aktiviti harian.

“Bagi kandungan kedua, bayi saya memang besar dan sekarang cepat mengah serta tidak boleh berdiri lama atau berjalan jauh terutama sejak masuk trimester kedua dan ketiga.

“Malah sewaktu pergi membuat pemeriksaan rutin bayi baru-baru ini, doktor ada menasihatkan saya untuk mempertimbangkan kelahiran secara pembedahan kerana saiz bayi yang agak besar,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran kosmetik miliknya, Oh Most Wanted! di Play Up Advance, Fahrenheit 88.

Atas sebab kesihatan yang sama, wanita berusia 35 tahun ini berdepan dengan pelbagai pandangan dan cemuhan pengguna laman sosial apabila memuat naik Insta Story yang menyaksikan dia berkerusi roda beberapa minggu lalu.

Kata peminat, tindakan Nora menunjukkan keadaan berkerusi roda sebagai satu perbuatan mengada-ngada dan sengaja ingin meraih perhatian berkenaan kehamilannya.

Saat diaju perkara tersebut kepada empunya badan, dia hanya tertawa kerana itu kali pertama mendengar kritikan peminat tentang perbuatannya.

“Sejujurnya saya seorang yang mengamalkan sikap tidak suka membaca komen orang dalam laman sosial kerana tahu ia hanya akan menyakitkan hati sendiri.

“Orang kata saya mengada-ngada tapi sebenarnya saya memang mengalami masalah tulang pinggul dan tidak dapat bergerak selama tiga minggu sebab saiz bayi dalam kandungan yang besar,” katanya yang menganggap komen negatif peminat sebagai perkara biasa dalam hidup seorang artis.

Tambahnya lagi, memandangkan kehamilan kali ini sedikit mencabar maka Nora lebih selesa fikirannya fokus kepada hal-hal yang gembira di samping suami dan keluarga tercinta.

Dia turut meluahkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang alahan teruk sepanjang proses mengandung dan Nedim memberikan tumpuan penuh terhadap setiap keperluannya sekali gus menjadikan Nora sentiasa berasa cukup segalanya.

Aktif

Mengalih sedikit soal cerita kepada hal karier, aktres berwajah keanak-anakan itu memberitahu dia sangat rindu untuk kembali aktif berlakon setelah berehat hampir setahun selepas bernikah dan mengandung.

Meskipun sudah setahun berehat, wajah jelitanya tidak hilang terus dari radar perfileman kerana ada dua buah naskhah lakonannya iaitu Makrifat Cinta dan Bukan Cinta Malaikat yang bakal menemui penonton pada awal tahun ini.

Kata Nora, sebelum kembali aktif dalam industri, dia akan memastikan berat badannya yang naik mendadak ketika berbadan dua kembali kepada berat normal agar tampil lebih berkeyakinan untuk kemunculan semula.

Dia juga boleh dikategorikan sebagai wanita beruntung apabila suaminya tidak pernah menghalang, malah dengan relanya menawarkan diri untuk menjaga anak mereka apabila Nora kembali bekerja selepas habis pantang kelak.

“Saya mahu bekerja seperti biasa selepas bersalin kerana sudah lama berehat. Saya rindu untuk kembali aktif di hadapan kamera dan Alhamdulillah, Nedim sentiasa menyokong impian saya.

“Namun begitu, saya mungkin akan lebih selektif dalam menerima tawaran dan memastikan jadual tidak sepadat dahulu memandangkan akan ada anak kecil untuk saya beri perhatian selepas ini,” ujarnya sambil tersenyum.

Kini, sebelum dapat melunaskan impiannya untuk kembali aktif berlakon, Nora memberi komitmen penuh terhadap produk kosmetik Oh Most Wanted! yang diusahakan bersama dua sahabatnya sejak dua tahun lalu.

Mengeluarkan beberapa produk kecantikan termasuk lipstik dan bedak asas, ironinya hal-hal kecantikan begitu dekat dengan wanita yang juga memiliki bisnes kafe dan pakaian ini.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.