Gajah Betina Mati Kena Renjatan Elektrik

PETALING JAYA – Seekor gajah betina ditemui mati di Gerik, Perak selepas dipercayai terkena renjatan elektrik wayar hidup.

Menurut Pengurusan dan Ekologi Gajah-Gajah Malaysia (Meme), gajah tersebut dianggarkan berusia sekitar 40 tahun.

Pengurus lapangannya, Alicia Solana berkata terdapat kemungkinan bahawa gajah itu sedang bunting atau baru melahirkan anak.

“Kami tidak pasti tentang perkara ini pada masa ini, tetapi ada susu yang keluar dari putingnya,” katanya kepada Star Online, Selasa.

Kejadian itu berlaku berhampiran kem tentera di Pulau Banding, Gerik.

Beliau menambah, gajah itu mungkin sebahagian daripada sekumpulan gajah betina dan anak gajah lain yang sering mencari makanan di situ.

“Haiwan ini memang biasa berkeliaran di kawasan seberang lebuh raya ini kerana ada banyak rumput dan makanan yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Solana berkata, gajah itu dipercayai terkena renjatan selepas menyondol zink sebuah rumah sementara yang dibina di kawasan itu, yang terletak di sebelah lebuh raya.

Tiada seorang pun berada di sekeliling kawasan kejadian, tambah Solana.

“Ia adalah satu kehilangan yang penuh emosi kerana kami tahu tentang kumpulan ini dan dapat mengenal pastinya. Kami sering melihatnya,” katanya. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.