Banjir : 11 Sekolah Tangguh Sesi Persekolahan

KUANTAN — Sesi persekolahan 2018 bagi 11 buah sekolah di Pahang yang bermula hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan banjir.

Pemangku pengarah pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus kesemua sekolah terlibat yang terletak di daerah ini, Pekan dan Jerantut yang terjejas disebabkan laluan utama dan sekolah terbabit dinaiki air, lapor Bernama

“Di Kuantan sahaja, sebanyak sembilan buah sekolah tidak dapat memulakan hari pertama sesi persekolahan dan ia melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Sungai Lembing, Sekolah Kebangsaan (SK) Nadak.

SK Sungai Lembing, SK Sungai Emas, SJKC Panching, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Kuala Reman, SK Panching dan SK Bukit Kuin yang melibatkan lebih 1,000 murid dan 140 guru, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata manakala dua lagi sekolah yang tidak dapat beroperasi ialah SK Aceh di Pekan yang melibatkan 276 murid dan 28 guru serta SK Gintong di Jerantut melibatkan 28 murid dan 12 guru,

Tajuddin berkata, 11 sekolah berkenaan diberi cuti kecemasan atas faktor keselamatan manakala guru-guru sekolah terbabit diminta melaporkan diri di sekolah berhampiran.

Katanya, sesi persekolahan terbabit akan berjalan seperti biasa selepas banjir surut dan maklumat berkaitan akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga dari semasa ke semasa.

Terdapat 195 sekolah menengah dengan lebih 110,000 pelajar dan 540 sekolah rendah dengan 150,000 pelajar di Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.