Amar Tidur Lepas Subuh Demi Anak Sulung

KUALA LUMPUR: Dilemparkan dengan pelbagai kata-kata negatif gara-gara tampil semakin langsing dan menawan, Ifa Raziah enggan mempedulikan semua komen berbaur kecaman.

Sebaliknya, penyanyi, pelakon dan pengacara ini terus menetapkan azam mendapatkan tubuh ramping seperti bintang terkenal, Ziana Zain.

Ketika ini, pemenang dua kali gelaran Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH itu mempunyai berat sekitar 58 kilogram (kg) dan mahu menurunkan 10kg lagi untuk menyamai berat penyanyi Madah Berhelah berkenaan.

“Lantak mereka nak anggap apa dan menuduh saya dengan pelbagai perkara negatif sekalipun. Apa yang penting, saya cantik dan sihat.

“Kalau nak diikutkan cakap belakang orang, semuanya berunsur tidak puas hati dan dengki. Sampai bila pun kita takkan maju kalau mempunyai mentaliti sebegitu.

“Kalau saya menafikannya pun, mereka yang di luar sana, termasuk netizen, tetap membuat kesimpulan negatif sendiri. Jika saya cakap mengamalkan diet juga, pasti ada andaian sebaliknya. Jadi, lebih baik saja saya fokus kepada usaha dan kerja kuat untuk mencari duit. Memang azam saya tahun 2018, nak terus majukan diri dalam kerjaya seni serta perniagaan, Divas Secret by Ifa Raziah,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, artis serba boleh itu dilempar dengan pelbagai tuduhan liar, termasuk melakukan pembedahan pada tubuh dan wajah, apabila beliau tampil lebih kurus serta berwajah tirus.

Ifa berkata, hakikatnya beliau belum berpuas hati dengan beratnya sekarang walaupun gigih mengamalkan diet sejak beberapa bulan lalu.

“Kalau boleh, saya nak jadi macam Ziana. Badannya yang ramping memang membuatkan ramai yang cemburu. Saya memang kena diet semula mulai 1 Januari. Sebabnya, sejak kebelakangan ini saya sudah mula makan seperti biasa semula.

“Dulu ketika berdiet, memang saya tidak mengambil minuman manis. Sebaliknya banyak minum air kosong selain makan telur rebus,” katanya yang turut memasang azam lebih memajukan diri dalam bidang seni dan perniagaan sempena kedatangan tahun baharu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.