Tanah Mendap, Penduduk Cheras Diarah Keluar

Kuala Lumpur – Tujuh buah rumah di Alam Damai, Cheras telah diarah untuk meninggalkan kediaman masing-masing selepas kejadian tanah mendap di kawasan terbabit.

Tinjauan di kawasan ini menunjukkan sebahagian besar terdapat tanah mendap serta beberapa rumah berhampiran didapati retak akibat penurunan tanah sejak beberapa hari hujan lebat.

Siasatan awal mengesyaki insiden berpunca akibat pergerakan air dalam tanah yang mempunyai kaitan dengan projek pembinaan berhampiran yang dilaksanakan sejak 2013.

Namun, masalah itu semakin serius kelmarin.

Mendapan tanah mengakibatkan longkang dan tembok penahan kediaman atas bukit itu runtuh dan jalan turut mempunyai kesan retak.

Menurut penduduk, ia insiden terburuk pernah berlaku di situ.

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang menjalankan pemeriksaan mendapati beberapa rumah di situ tidak selamat untuk didiami buat sementara waktu.

Penduduk dipindahkan secara berperingkat ke hotel sejak kelmarin dengan kos ditanggung pemaju projek pembinaan.

Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib yang dihubungi mengesahkan pihaknya telah mengambil beberapa tindakan segera bagi mengelak kesan lebih buruk.

Ia termasuk menutup jalan terjejas dan mengalihkan laluan air.

Pejabat sementara DBKL turut didirikan bagi memantau keadaan.

Sementara itu, polis juga meletakkan sebuah pejabat begerak bagi mengawasi keadaan di sekitar kawasan kejadian.

Projek pembinaan bangunan 29 tingkat itu juga dihentikan buat sementara waktu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.