Rakyat Sudah Bosan Tahap Gaban – Dr Hussamuddin Yaacub

Shah Alam – Mengakui tidak ada agenda di sebalik idea kerajaan campuran di Kelantan, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menegaskan bahawa rakyat sebenarnya sudah teramat bosan dengan persengketaan antara dua parti Melayu, UMNO-PAS.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf itu persengketaan yang berlaku sekarang merupakan kerosakan yang dibawa oleh ahli politik.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak berasa malu untuk mengemukakan cadangan agar diwujudkan kerajaan campuran di peringkat negeri antara PAS dan UMNO untuk kebaikan rakyat dan negeri itu.

“Rakyat sudah bosan tahap gaban terhadap orang UMNO dan PAS. Tambahnya, saya tengok perangai mereka hodoh dan inikah pemimpin yang saya perlu hormat?” persoalnya semasa sidang media di pejabatnya.

Dr Hussamuddin Yaacub yang merupakan anak jati Kelantan dan usahawan yang berjaya berkata, beliau akan berasa ”malu menjadi ustaz tetapi menyebarkan perkara yang tidak betul.”

Katanya, beliau hanya mahukan PAS dan UMNO Kelantan bersatu pulihkan kemusnahan banjir yang dasyat di Kelantan dan menegaskan, ”sebagai umat Islam sebaiknya janganlah kita bergaduh dan seeloknya bekerjasama.”

Pemilik dan penerbit akhbar Sinar Harian itu juga mengakui ramai yang tidak berpuas hati dan menyalahtafsirkan pandangannya agar PAS dan UMNO bersatu memerintah Kelantan, namun berharap ahli politik memahami pandangannya itu demi rakyat.

“Jangan putar belitkan apa yang saya cakap. Rakyat dah muak, cuma tak berani bersuara. Ini ada ketua pemimpin yang melarang untuk berdamai. Jika betul-betul berjiwa Islam, pemimpin itu tak akan tolak kedamaian,” ujarnya.

Beliau berkata, apa perlu dilakukan adalah perancangan dan pemimpin PAS dan UMNO perlu duduk semeja bagi menyelaras perancangan pembangunan di Kelantan.

“Jika saya jadi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang saya akan terima gabungan ini bagi meninggalkan legasi 40 tahun yang lalu. Ini sudahlah Kelantan ketinggalan 40 tahun ke belakang, ditambah pula banjir telah menjadikan negeri itu 80 tahun ke belakang,” usulnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.