800 Anggota Polis Dikerah Bantu Bersihkan Kelantan

Kota Bahru – Lapan ratus anggota polis telah dikerahkan dalam usaha membantu semua pihak yang terjejas dalam banjir buruk yang berlaku di Kelantan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka akan membantu badan-badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan pihak persendirian bagi membersihkan kediaman dan premis termasuk yang dipenuhi lumpur tebal.

“Seramai 800 anggota daripada semua unit termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan dan unit udara akan membantu membersihkan Kelantan pada pasca banjir ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis yang cedera dalam nahas helikopter di Kampung Rambai Gobek, Tanah Merah dua hari lalu, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini Jumaat.

Khalid juga berkata semua ibu pejabat polis dan balai polis di Kelantan yang terjejas banjir sudah beroperasi seperti biasa.

“Di Kelantan terdapat 19 balai yang terlibat banjir namun tidak ditutup. Anggota tetap bertugas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata lebih 50 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan kecurian di Kelantan semasa banjir.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu terhempas ketika berada pada ketinggian kira-kira 91.44 meter ketika dalam misi menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir di situ.

Juruterbang ASP Amirul Adli Ahmad yang mengalami keretakan pada tulang belakang dan pembantu juruterbang ASP Hasli Hassan yang cedera pada bahagian lutut kanan kini menerima rawatan di hospital itu.

Khalid berkata keadaan anggotanya yang cedera dalam nahas itu semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari HUSM tidak lama lagi.

Dua lagi anggota yang terbabit, Sarjan Mejar Mohd Hood Abd Majid kini dirawat di Hospital Tanah Merah manakala Lans Koperal Arhafidah Zakaria telah dibenarkan pulang.

“Buat masa ini kita menyerahkan kepada pihak Jabatan Penerbangan Awam untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu,” kata Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.