Xavier Kutuk Pemimpin Pelampau India Buat Tuduhan Palsu

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pelampau India, Parti Rakyat Hindu Makkal Katchi (HMK) dikutuk sekeras-kerasnya kerana bertindak sesuka hati dengan tuduhan tidak berasas yang dikuatiri boleh membawa implikasi buruk kepada negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, tuduhan yang dilontarkan oleh Arjun Sampath bukan sahaja bohong belaka malah sungguh menjijikkan dan seharusnya ditentang.

Jelasnya, beliau amat terkejut dengan dakwaan sewenang-wenang oleh pihak luar seperti Sampath yang dilihat cuba mengeruhkan keadaan dan keharmonian.

“Tuduhan itu sangat tidak benar, faktanya sudah lari dan banyak yang sengaja ditokok tambah. Semua itu tidak betul. Perlu semak fakta terlebih dahulu.

“Tindakan parti ini sebenarnya boleh ganggu gugat keharmonian kita apatah lagi penggunaan perkataan-perkataan seperti ‘fanatik Islam’ dan ‘dahagakan darah’ itu semua tidak betul.

“Berkali-kali sudah kita katakan insiden rusuhan ini bukan isu perkauman, sebaliknya perselisihan antara penganut pengurusan kuil Sri Maha Mariamman dengan pemaju. Isu ini juga sedang cuba diselesaikan.

“Saya tidak nampak apakah motif pihak luar seperti Sampath yang tidak melakukan semakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan memorandum seolah-olah pihak berkuasa bertindak kejam terhadap komuniti India khasnya wanita dan kanak-kanak.

“Melampau sungguh untuk mengatakan leher dan tengkuk serta kepala dipenggal. Mana ada asas dengan semua tuduhan liar seperti ini.

“Kita akan menghantar sebuah memorandum berhubung isu serta dakwaan serta mohon penjelasan daripada pihak Kedutaan India di Malaysia. Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat main,” tegasnya.

Xavier mengulas tindakan Arjun mengeluarkan tuduhan liar berunsur jahat kepada Malaysia berkaitan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafields, baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau di hadapan Konsulat Malaysia di Tamil Nadu, India dua hari lalu yang direkod dan diviralkan beliau sesuka hati telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah terhadap negara ini.

Malah Arjun turut memohon bantuan daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk bertegas dalam isu itu dan segera menyelamatkan masyarakat India di Malaysia yang dianiyai oleh kerajaan.

Xavier menasihati umum supaya tidak termakan hasutan atau tuduhan liar seperti itu.

“Bertenang, dan mohon semua pihak tidak mempercayai tuduhan seperti itu atau bertindak menularkan fakta serta berita tidak benar yang ganggu gugat keamanan yang telah kita bina selama ini. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.