Pakatan Harapan Perlu Tunai Janji Manifesto, Tak Abai Borneo

KOTA KINABALU – Kerajaan persekutuan digesa bertindak jelas dalam mengotakan janji memulihkan Sabah, kata bekas ketua menteri, Tan Sri Bernard Dompok.

Presiden kehormat Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu itu berharap kerajaan kini akan bersikap adil dan menimbangkan penyertaan semua parti politik dalam jawatankuasa khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diwujudkan sebelum ini.

“Ini akan memastikan jawatankuasa itu berada di atas landasan tepat bagi memulihkan hak Sabah.

“Kerajaan sekarang mesti mengambil langkah yang jelas. Semua pihak mesti diwakili dalam jawatankuasa (MA63),” katanya ketika menghadiri Siri Syarahan Kerusi Kadazandusun Universiti Malaysia Sabah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengulangi sokongan penuh kepada presiden Upko, Datuk Madius Tangau dan keputusan parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas bekerjasama dengan Warisan dan PH bagi membentuk kerajaan Sabah yang baru.

Tangau mengetuai 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Upko keluar daripada BN pada 11 Mei lepas.

Beliau dilantik sebagai timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan industri negeri, sementara Adun Upko, Ewon Benedick dilantik sebagai menteri pembangunan luar bandar.

Dompok merupakan seorang daripada beberapa wakil Malaysia ke negara asing yang dipanggil balik selepas PH mengambil alih kerajaan pusat Mei lepas dan jawatan beliau itu belum diisi sehingga kini.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.