Meriahkan Hari Kitar Semula Kebangsaan Di Pantai Eko Park Hari Ini

BUMI berpeluang untuk dipelihara dan dipulihara melalui amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle), manakala masyarakat pula masih berpeluang dan tidak terlambat untuk memulakan amalan 3R.

Itu antara intipati sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) yang diadakan pada setiap tahun. Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran amalan kitar semula sekali gus mampu dimanfaatkan sebagai pendapatan hasil daripada penggunaan sumber ini.

Hari ini, orang ramai dijemput memeriahkan lagi Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 yang akan diadakan di Pantai Eko Park, Bangsar.

Program yang dikendalikan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) diwarnai dengan pelbagai acara menarik untuk disertai termasuk Fun Walk, Permainan 3R, demonstrasi Upcycling, pameran waste to art, senamrobik, carbootsale, foodtruck, Kidzania Go, kemunculan maskot Didi & Friends, persembahan band dan cabutan bertuah.

Program yang akan bermula jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan yang disambut setiap tahun pada 11 November.

Timbalan Ketua Pegawai Eksklusif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha berkata, Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 mengajak seluruh rakyat Malaysia bangkit membanteras pencemaran agar masa hadapan alam sekitar sentiasa terpelihara dan tahap kesihatan terjamin.

Jelasnya, penganjuran program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) atau amalan mengurangkan, guna semula dan kitar semula sisa pepejal.

“Di samping itu, kita berhasrat menggalakkan amalan 3R sebagai langkah paling penting dan berkesan dalam menguruskan sisa pepejal secara mapan demi generasi akan datang,” katanya pada sesi wawancara bersama media di ibu pejabat SWCorp di sini.

Pada masa yang sama, Mohd Pauze berkata, program itu juga diharap dapat menerapkan minda kelas pertama kepada masyarakat dalam menjadikan amalan 3R sebagai budaya dan diterapkan secara harian.

Program itu nanti turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ketua Setiausaha KPKT, dif-dif jemputan daripada KPKT serta agensi kementerian lain, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), syarikat konsesi, industri, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta orang ramai.

Kreativiti menghasilkan barangan terpakai atau kitar semula dipamerkan di di pejabat SWCorp.

Beri sumbangan dalam pengurusan alam

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Pauze berkata, ketika ini hanya sembilan peratus daripada sembilan bilion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia telah dikitar semula, manakala sebahagian besar yang lain tidak terurus secara lestari.

Justeru itu katanya, sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 yang berinspirasikan daripada sambutan Hari Bumi 2018 dan Persekitaran Dunia 2018, bertujuan mengajak masyarakat Malaysia menyedari ancaman dan bahaya pencemaran plastik.

“Melalui sambutan ini, seluruh masyarakat diseru agar bangkit membanteras pencemaran demi masa hadapan alam sekitar yang terpelihara dan kesihatan yang terjamin,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan melalui KPKT dan SWCorp berhasrat untuk menangani isu penggunaan plastik dengan menyediakan platform kepada industri serta setiap rakyat untuk menyumbang kepada pengurusan alam sekitar yang lestari dan holistik.

Menurutnya, sifat produk plastik yang mudah dihasilkan, murah dan penggunaan yang tinggi telah memangkin penghasilan plastik terutamanya “plastik sekali guna” dalam kadar yang tinggi.

Justeru itu, katanya setiap rakyat Malaysia boleh berperanan secara aktif demi membanteras pencemaran plastik ini dengan pelbagai langkah mudah.

“Antaranya dengan membawa beg pembungkus sendiri ketika membeli-belah, tidak menggunakan perkakasan plastik sekali guna seperti sudu, garpu dan straw, membawa bekas makanan dan minuman sendiri sebagai alternatif ketika membungkus di premis makanan dan kitar semula setiap produk plastik yang telah digunakan,” jelasnya.

Ditanya tentang harapannya terhadap program Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018, beliau optimis agar masyarakat memperoleh maklumat dan inspirasi dalam membudayakan amalan kitar semula dan 3R sekali gus menjadikan amalan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal yang baik sebagai amalan seharian.

Besar harapannya juga untuk melihat program itu nanti dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah awal kerajaan dalam menangani isu sisa plastik ke arah Plastik Pakai Buang Sifar  (Zero Single-Use Plastics) di Malaysia menjelang 2030.

Selain itu katanya, jalinan kerjasama sepanjang berlangsungnya Hari Kitar Semula Kebangsaan kali ini bersama-sama agensi kerajaan, swasta, pemain industri pengurusan sisa pepejal dan kitar semula, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat diperkasakan supaya hasrat kadar kitar semula kebangsaan 30% yang disasarkan dapat dicapai pada 2020 selain melestarikan pengurusan sisa pepejal.

Motosikal terbentuk melalui tin minuman dan pelbagai barangan terbuang

Swafoto dan menangi Huawei P20

Sebagai tarikan menjelang program besar itu, orang ramai berpeluang menyertai Program 1 Million #crazyonrecycle yang dianjurkan pada 15 hingga 30 November dengan mengumpulkan barangan kitar semula secara serentak dalam tempoh berkenaan.

Peserta hanya perlu mengumpul barang kitar semula dan jual atau hantar ke mana-mana Pusat Pengumpulan Kitar Semula berdekatan, kemudian muat naik maklumat yang diperlukan ke http://www.swcorp.my/cor.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua warga Malaysia sama ada secara individu atau organisasi dengan matlamat untuk membudayakan amalan kitar semula dengan menyasarkan seramai satu juta penglibatan di seluruh Malaysia.

Pertandingan yang dianjurkan:

1. Pertandingan Waste To Art Competition 2018

– Disertai penggiat seni dan masyarakat yang menghasilkan karya berasaskan barangan terbuang dan terpakai yang mempunyai nilai komersial dan estetika serta mampu mentransformasikan minda masyarakat kepada masyarakat minda kelas pertama.

– Hasil karya ini dipamerkan di galeri yang terletak di pejabat SWCorp dan diadili oleh juri bertauliah.

2. Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan (PerKISS) 2018

– Merupakan penganjuran kali kelima oleh  SWCorp dan telah diperkenalkan pada tahun 2014 dengan penyertaan dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di seluruh Malaysia.

– PerKISS mempertandingkan beberapa kriteria utama seperti berat barangan kitar semula terkumpul, komitmen, inisiatif dan inovasi warga sekolah dalam menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti pembudayaan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

3. Pertandingan Appreciation of Best Practices on Solid Waste Management 2018

– Telah berlangsung dan pemenangnya telah dimuktamadkan dalam usaha pembudayaan amalan yang baik di dalam pengurusan sisa pepejal seperti pengasingan dan pengurangan sisa pepejal, aktiviti kitar semula dan kesedaran serta implementasi ke arah sisa sifar (zero waste) di premis.

4. Anugerah Pengiktirafan Perkhidmatan Skim Konsesi Terbaik

– Dasar Sisa Pepejal Negara yang bermatlamat untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif, mampan dan diterima masyarakat merupakan faktor utama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih, indah dan sejahtera. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.