Lepas Salahkan Polis, Waytha Moorthy Ucap Tahniah Pula

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy hari ini mengucapkan tahniah kepada tindakan segera pihak polis demi mententeramkan dan mengawal situasi kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.

Ironinya ucapan tahniah ini dibuat selepas beliau mengetuai kenyataan menteri dan timbalan menteri Pakatan Harapan yang menyalahkan pihak polis bertindak lewat baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media, Waytha berkata, masyarakat India dalam negara khususnya dan keseluruhan rakyat secara amnya menghargai tahap profesionalisme yang tinggi yang dipamerkan oleh pasukan polis pada waktu itu.

“Saya juga mengalu-alukan jaminan oleh KPN bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan dan pelaku yang terlibat akan dibawa ke mahkamah demi kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya ,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat India Malaysia menghargai kehadiran anggota polis berhampiran kuil itu bagi mengawal keadaan dalam memastikan semua pihak yang mengunjungi kuil itu mematuhi paraturan dan undang-undang.

“Sekali lagi dengan hati yang tulus ikhlas saya ingin melahirkan penghargaan terhadap kesemua anggota polis serta KPN yang bertindak cepat bagi membendung sebarang bentuk jenayah ekoran kejadian itu,” katanya lagi.

Baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin politik perlu menghentikan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan keadaan mengenai rusuhan yang berlaki di kuil di USJ25 baru-baru ini.

Hari ini, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah pula bertitah mengingatkan pemimpin dalam negara selain rakyat tidak melakukan provokasi yang boleh menyalakan kebencian dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum serta agama di negara.

Baginda yang juga merupakan Sultan Perak menzahirkan rasa dukacita kerana suasana harmoni yang menjadi budaya rakyat negara ini sejak sekian lama kini mahu dimusnahkan disebabkan persaingan politik.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.