VIDEO: Lebih 3,000 Meriahkan HKSK2018, Pengunjung Beriadah Sambil Menambah Pengetahuan

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018) yang diadakan di Pantai Eco Park, di sini hari ini, untuk menyertai pelbagai aktiviti dan menambahkan pengetahuan mengenai pentingnya amalan kitar semula atau 3R (Reduce, Reuse, Recyle).

Seawal jam 6.30 pagi lagi, orang ramai mula membanjiri Pantai Eco Park untuk menyertai acara senamrobik, sebelum ramai-ramai beriadah sambil mengutip sampah menerusi acara Fun Walk & Plogging.

Acara Fun Walk & Plogging, salah satu acara yang menjadi tarikan HKSK2018 disertai lebih 2,000 peserta tanpa mengira peringkat umur, dengan para peserta melalui kawasan komuniti PPR sepanjang 2.3 kilometer.

HKSK2018 yang dianjurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengangkat tema ‘bebas beg plastik’ sempena sambutan pada kali ini.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksklusif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah awal kerajaan dalam menangani isu sisa plastik ke arah Plastik Pakai Buang Sifar(Zero Single-Use Plastics) di Malaysia menjelang 2030.

“Ini selaras dengan kempen KPKT iaitu ‘Jangan gunalah’. Kejayaan sesuatu pengurusan sisa pepejal yang moden dan mampan bukan saja bergantung kepada dasar dan program kerajaan semata-mata, tetapi perlu bermula dengan sokongan padu pelbagai pihak. Saya menyeru semua anggota masyarakat perlu mengambil berat dan memberi perhatian yang khusus terhadap kebersihan bukan sahaja bermula daripada rumah malah di sekitar kawasan sekeliling kita,”katanya ketika menyampaikan ucapan.

Menurut Dr Mohd Pauze, KPKT menerusi SWCorp sentiasa meneroka kaedah dan cabang baru dalam memberikan pendedahan atau pendidikan kepada rakyat Malaysia.

“Sepanjang tahun ini pelbagai program pembudayaan amalan 3R telah dijalankan dalam pelbagai segmen masyarakat seperti di jabatan-jabatan kerajaan, industri, sekolah, institusi pengajian tinggi, dan lain-lain dengan jumlah sebanyak 17,723 program telah dilaksanakan.

“Dan melalui program ini sebanyak 24,235 tan metrik barangan kitar semula telah berjaya dikumpulkan,” katanya lagi.

HKSK2018 dirasmikan oleh Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.

Ia turut dihadiri dif-dif jemputan daripada KPKT serta agensi kementerian lain, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), syarikat konsesi, industri, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta orang ramai.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi booth (reruai) pameran yang disediakan melibatkan agensi kerajaan, agensi swasta, NGO, IPT dan Sekolah Industri; pameran ‘sculpture’, bengkel ‘upcycling’, dan ‘open mic’.

HKSK2018 turut akan diserikan dengan cabutan bertuah,’food truck’, jualan ‘car boot’, penampilan maskot Didi&Friends dan persembahan nyanyian daripada Reuz Band.

Bagi seorang pengunjung, Izzah dari Shah Alam, beliau hadir seawal jam 6.30 pagi bersama keluarganya untuk memeriahkan HKSK2018. Bukan saja menyertai Fun Walk & Plogging, beliau turut sama mengambil bahagian di bengkel ‘upcycling’ yang menyediakan ‘kelas’ menjahit barangan terpakai.

“Baguslah bagi saya yang tak pernah menjahit, cuba menjahit, tak susah mana pun. Penggunaan barang pun bagus, contohnya di rumah kita ada baju-baju yang tidak digunakan, kita boleh kitar semula jadikan ia baju baru. ia lebih cantik dan selesa untuk digunakan

“Secara keseluruhannya bagus. Jika diikutkan di peringkat antarabangsa, mereka dah lama amalkan kitar semula, cuma kita di Malaysia baru nak berjinak-jinak. SWCorp dah lama uar-uarkan di media-media sosial dan menghebahkan di kawasan perumahan, jadi masyarakat tahu dan mereka boleh datang sini. Di samping bersama keluarga, kita juga dapat menambahkan pengetahuan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Seni Jahitan Kreatif, Maznim berkata, pihaknya menyediakan lima unit mesin jahit untuk bengkel upcycling sempena HKSK2018.

“Sambutan sangat menggalakkan terutama dari segi banner sebab banner ini kita tahu, lepas guna mesti dibuang. Tapi kalau kita gunakan semula, ia ada nilainya. Contohnya kita boleh buat beg, bekas pensel, bekas kasut dan macam-macam lagi.

“Kami bawa lima unit mesin jahit, mesin ini memang istimewa, ia boleh jahit kain setebal lapan lapis jeans. Banner pun boleh jahit,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang dikenali sebagai Atikah berkata, beliau sangat teruja dapat hadir ke HKSK2018 dan menyertai pelbagai aktiviti bermanfaat yang disediakan pihak penganjur.

Malah ujar beliau, program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang untuk memupuk kesedaran orang awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan amalam kitar semula.

“Saya dah join Fun Walk, sambil jalan sambil kutip sampah, main game berkenaan kitar semula.

“Ini satu usaha yang baik untuk menyedarkan selain daripada boleh bersama keluarga dan kawan-kawan untuk tahu mengenai kitar semula.

“Booth banyak berkisarkan kitar semula, ini lebih menambahkan pengetahuan kita daripada tak tahu boleh tahu,” katanya. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.