Lakonan Semula Adib Dipukul Ketika Rusuhan Kuil Dijalankan

SUBANG JAYA: Pasukan siasatan polis hari ini muncul di lokasi seorang anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim yang ditarik dan dipukul perusuh di hadapan kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, di sini, awal pagi Selasa lalu.

Pasukan terdiri daripada Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai penyiasat serta pegawai dan anggota JBPM Selangor, tiba di lokasi kejadian sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Turut dilihat berada di lokasi kejadian adalah anggota bomba yang turut berada bersama-sama Muhammad Adib, ketika pasukan mereka diserang sekumpulan perusuh bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan dengan melakonkan semula kejadian itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata siasatan secara terperinci itu dibuat bagi membolehkan pihak polis mengetahui situasi sebenar kejadian Muhammad Adib dan anggota bomba lain yang menaiki jentera bomba serta van EMRS, diserang dan dibaling batu serta objek lain hingga menyebabkan berlaku kerosakan dan cermin pada badan kenderaan itu.

“Pada hari ini, Unit Forensik Polis menjalankan siasatan serta membuat lakonan semula di lokasi berkenaan bagi membolehkan kita mendapat butiran dan maklumat lanjut mengenai siasatan kes serangan ke atas Adib dan pasukan bomba.

“Pada masa ini saya tidak dapat lagi memberikan butiran lanjut bagi membolehkan siasatan sepenuhnya dijalankan,” katanya ketika dihubungi NSTP sebentar tadi.

Beliau berkata pihak polis terpaksa menutup satu lorong untuk sementara waktu di lokasi kejadian ketika siasatan dilakukan sebelum dibuka semula selepas siasatan selesai.

Mengulas kawalan polis di kawasan sekitar kuil Sri Maha Mariamman yang memasuki hari keenam, Mazlan berkata keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya dapati keadaan di sana kini sama seperti suasana sebelum kejadian pencerobohan kuil dan orang ramai menjalankan aktiviti harian mereka seperti sedia kala.

“Justeru saya mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak cuba menyebarkan sebarang berita atau maklumat mengenai situasi yang tidak benar hingga menyebabkan suasana tegang.

“Kita tidak akan teragak-agak mengesan dan mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya.

Katanya, pada masa ini seramai 500 pegawai dan anggota polis masih ditempatkan di kawasan kuil serta kawasan berhampiran.

Tinjauan seawal jam 9 pagi di kawasan kuil berkenaan mendapati laluan bergerak lancar, meskipun sebahagian pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka bagi melihat keadaan dalam kuil yang dikawal oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Polis Trafik serta pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.