VIDEO: KPKT Sasar Tempoh Lima Tahun Basmi Penggunaan Beg Plastik, Perhebat Kempen ‘Jangan Gunalah’

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018) yang berlangsung hari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan tempoh lima tahun untuk membasmi penggunaan beg plastik di kalangan rakyat negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, menerusi kempen yang diberi nama ‘Jangan Gunalah’, kementerian mahu memupuk kesedaran terhadap orang awam agar meminimakan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian memandangkan ia bahan yang berbahaya kepada makhluk di bumi khususnya manusia dan haiwan.

“Di bawah kementerian KPKT bersama Mestecc (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) kita telah buat hala tuju lima tahun di mana dalam masa lima tahun kita akan basmikan penggunaan beg plastik.

“Jadi dalam peringkat lima tahun ini adalah peringkat untuk berikan kesedaran, pemahaman sebelum kita kuatkuasakan jangan guna beg plastik. Kita juga bekerjasama dengan syarikat ‘concessionaire’ yang berikan insentif kepada rakyat. Jadi kita boleh galakkan orang ramai untuk mengamalkannya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan HKSK2018.

Turut serta dalam sidang media berkenaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksklusif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha.

Zuraida berkata, untuk mencapai matlamat tersebut, KPKT berusaha bekerjasama dengan syarikat swasta yang boleh mengangkat agenda kitar semula yang boleh membawa mesej-mesej melalui produk-produk mereka agar dapat memberikan kesedaran tinggi kepada orang awam.

Antaranya, kerjasama Petronas dan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), di mana orang awam boleh menebus mata ganjaran kad Mesra Petronas jika mereka mengitar semula barangan mereka kepada Alam Flora.

“Kad itu adalah inisiatif ‘concessionaire’ yang mana ia untuk kepada sesiapa yang pulangkan plastik, sampah yang boleh dikitar semula, mereka akan diberi mata ganjaran menerusi kad itu, dan mereka boleh tebus dengan senarai barangan yang ada, kebanyakan barangan keperluan rumah dan barangan dapur.

“Ini Alam Flora bekerjasama dengan Petronas tapi belum lagi menyeluruh ke seluruh negara tapi berperingkat. Ketika ini 10 kiosk Petronas disenarai dan akan diperkembangkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida turut menekankan betapa pentingnya orang awam membudayakan amalan kitar semula sebagaimana negara maju yang lain, bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar, bahkan mampu menjana sumber pendapatan.

“Negara yang maju boleh menjadikan sampah sebagai sumber pendapatan, negara yang maju boleh jadikan sampah sebagai punca kewangan. Ini yang cuba kita budayakan kepada rakyat Malaysia bahawa kita boleh tukarkan sampah kepada satu kebaikan yang mana boleh menghasilkan pendapatan, sumber kewangan dan boleh meringankan beban,” katanya.

Beliau juga berkata, rakyat Malaysia patut mencontohi budaya rakyat Rwanda yang sangat menitikberatkan kebersihan dan penjagaan sampah walaupun latar belakang negaranya yang sedikit mundur berbanding negara lain.

“Saya baru pulang dari Rwanda, sebuah negara di Afrika. Afrika ni sebuah negara yang terkebelakang tetapi rakyatnya tatatertib dan kesedaran sivik mereka, mereka punya keprihatinan yang sangat tinggi tentang penjagaan sampah di negara mereka.

“Budaya mereka ringkas saja iaitu jangan segan-segan tegur org buat kesalahan…mereka budayakan tegur menegur.. budaya ini patut kita terapkan dalam kehidupan seharian kita, jangan malu kepada perkara yang betul. Jangan ambil sikap ‘ada aku kisah’.

Semoga ia bukan sekadar budaya tapi jadi darah daging kita untuk mengamalkannya dan mulakan dari sekarang,” katanya lagi.

HKSK2018 dianjurkan oleh KPKT menerusi SWCorp bermatlamatkan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan kitar semula atau 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam menerapkan minda kelas pertama kepada masyarakat dalam menjadikan amalan 3R sebagai budaya dan amalan harian.

Bertempat di Pantai Eco Park, HKSK2018 dimulai dengan acara senamrobik dan HKSK Fun Walk & Plogging, iaitu berjalan sambil mengutip sampah yang disertai lebih 2,000 peserta yang melalui kawasan komuniti PPR sepanjang 2.3 kilometer.

Selain itu, sebanyak 20 booth pameran disediakan melibatkan agensi kerajaan, agensi swasta, NGO, IPT dan Sekolah Industri; pameran ‘sculpture’; bengkel ‘upcycling’, dan ‘open mic’.

HKSK2018 turut akan diserikan dengan cabutan bertuah,’food truck’, jualan ‘car boot’, penampilan maskot Didi&Friends dan persembahan nyanyian daripada Reuz Band. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.