Ismail Sabri Nasihat Ahli UMNO Jangan Campur Isu Kuil

SHAH ALAM – Ahli Umno digesa tidak mencampuri kemelut dan isu kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan siasatan.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, beliau sebelum ini hanya memerhati dan mengikuti rapat isu berkaitan kuil terbabit.

“Isunya hanya soal keputusan mahkamah yang tidak dicabar secara perundangan tetapi diambil jalan salah berkaitan pemilikan. Saya gesa pemimpin kerajaan baharu yang berkaitan untuk menyelesaikan isu yang timbul ini dengan segera.

“Kerajaan melalui kementerian atau agensi dan badan berkuasa perlu diberi ruang jalankan tugas mereka tanpa diganggu atau diberi tekanan  tidak sepatutnya hingga merencatkan tindakan dan siasatan,”tulisnya dalam status dimuat naik dalam akaun Facebooknya.

Beliau berkata, atas kapasitinya sebagai Pengerusi Umno Selangor beliau mohon mana-mana tidak cuba mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang menyala kerana khuatir ianya akan lebih marak dan sukar dikawal.

Katanya, isu kuil timbul berkaitan pemilik tanah dan jawatankuasa kuil. Seharusnya tidak ada tangan-tangan jahat yang masuk campur atau mengeluarkan kenyataan menyalahkan pasukan keselamatan atau pun mana-mana individu.

“Kita diapikan dengan isu ICERD sebelum ini dan saya lihat pemimpin yang sama cuba dapatkan publisiti dengan kenyataan-kenyataan berbaur hasutan dan boleh menyebabkan dua pihak bertelagah semakin hilang pertimbangan.

“Saya harap ahli Umno dan orang Melayu tidak campur isu ini dan serahkan kepada PDRM dan KDN lakukan siasatan supaya pihak  merancang dan mencetuskan rusuhan dihukum kerana mencabar perundangan sedia ada dengan tindakan sendiri.

“Saya juga ingatkan pemimpin Umno di pelbagai peringkat tidak keluarkan kenyataan yang menjadi api pencucuh kepada kebakaran yang lebih marak. Semua pihak harus tenang dan tidak membuat apa jua spekulasi yang boleh memudaratkan suasana yang kian tegang dan panas ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut bersedih dengan kejadian menimpa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera dalam insiden rusuhan terbabit. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.