Ribuan Pelancong Tinggalkan Bali

DENPASAR, Indonesia – Beribu-ribu pelancong asing dijangka meninggalkan Bali dengan menaiki pesawat semalam selepas lapangan terbang di pulau itu ditutup hampir tiga hari berikutan letusan Gunung Agung.

Amaran letusan Gunung Agung kekal pada tahap maksimum tetapi perubahan arah angin yang menolak abu dan asap jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai mendorong pihak berkuasa membuka semula satu-satunya pintu masuk antarabangsa ke pulau itu kelmarin.

Langkah tersebut meningkatkan harapan sebahagian daripada 120,000 pelancong yang terkandas selepas letusan gunung berapi itu mengakibatkan beratus-ratus penerbangan dibatalkan sejak Isnin lalu.

Abu gunung berapi berbahaya kepada pesawat dan mengakibatkan landasan menjadi licin selain disedut masuk ke dalam enjin kapal terbang.

“Sejak lapangan terbang dibuka semula kelmarin, sebahagian penerbangan kembali beroperasi dan keadaan beransur pulih se­perti sedia kala,” kata jurucakap lapangan terbang berkenaan, Isra­wadi.

Pada petang kelmarin, syarikat penerbangan domestik, Garuda berkata, pihaknya akan memulakan penerbangan ke beberapa bandar di Indonesia, manakala AirAsia melakukan penerbangan ke ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur.

Setakat petang semalam, lebih 4,500 orang telah berlepas keluar dari lapangan terbang itu, kata pihak berkuasa.

Berjuta-juta pelancong me­ngunjungi pusat peranginan popular itu pada setiap tahun. Majoriti mereka terdiri daripada pelancong China diikuti Australia, India, Britain dan Jepun, demikian menurut Pejabat Imigresen yang menambah bahawa seramai 25,000 warga asing menetap di pulau itu. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.