Penduduk Terpaksa Naik Bot Ke Masjid Untuk Solat Jumaat

TUMPAT — Banjir bukan penghalang bagi penduduk di Mukim Simpangan di sini untuk mengerjakan solat Jumaat meskipun air menenggelami perkarangan bangunan masjid sedalam kira-kira satu meter.

Dianggarkan seramai 60 jemaah dari sekitar kawasan berkenaan hadir menunaikan solat Jumaat hari ini menaiki bot yang disediakan  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan selain mendayung sampan dan menaiki bot enjin galah.

Imam masjid berkenaan, Ismail Awang Mat, 67, berkata pemandangan jemaah menaiki bot ataupun perahu untuk datang menunaikan solat Jumaat di masjid itu adalah perkara biasa setiap kali banjir melanda kawasan tersebut sejak 11 tahun lepas.

“Walaupun di sekeliling masjid ini air banjir bagaikan lautan, tetapi Alhamdulillah masjid ini tidak dimasuki air, hanya perkarangan masjid digenangi air sedalam satu meter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir menunaikan solat Jumaat bersama penduduk ialah anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail dan pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood.

Sementara itu, Mat Razi berkata Masjid Mukim Simpangan sering menjadi tumpuan penduduk di kawasan tersebut untuk menunaikan solat Jumaat kerana ia merupakan satu-satunya rumah ibadat bagi orang Islam yang tidak dinaiki air ketika banjir.

Mat Razi yang mewakili penduduk di kawasan tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada JBPM Kelantan kerana menyediakan bot bagi kemudahan penduduk untuk menunaikan solat Jumaat hari ini.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas dengan banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam pada itu, Nazili berkata JBPM Kelantan mengambil inisiatif menempatkan lima bot penyelamat di sekitar kawasan Pengkalan Kubor bagi membantu mangsa dan kesempatan berkenaan  digunakan bagi membantu penduduk di kawasan sekitar menunaikan solat di masjid. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.