Penduduk Sekinchan Gempar Ribuan Hidupan Laut Hanyut Ke Pantai

SEKINCHAN – Ribuan hidupan laut pelbagai spesis yang terdampar memeranjatkan peniaga dan pengunjung di Pantai Redang, di sini, hari ini.

Menurut BH Online, kejadian itu berlaku selepas fenomena air pasang dan ombak besar serta angin kuat pada jam 6 pagi tadi.

Peniaga barangan cenderamata, Tek Siew Nooi, 63, berkata, kejadian hidupan laut seperti lala, kepah, mentarang dan kerang bulu terdampar di pantai ini adalah kali pertama berlaku.

“Mungkin air pasang tinggi menghanyutkan hidupan laut ini ke pantai. Sejak saya mula berniaga di pantai ini lima tahun lalu, belum pernah saya saksikan kejadian seperti ini.

“Memang ada juga timbul kebimbangan kemungkinan perkara buruk akan berlaku seperti ombak besar atau tsunami.

“Pada jam 12 tengah hari tadi pun keadaan angin agak kencang dan air laut naik agak tinggi, namun air laut tidaklah sampai ke tapak perniagaan,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar itu.

Penduduk berhampiran Pantai Redang, Mei Lin, 32, berkata fenomena air pasang dan ombak besar sering berlaku di pantai ini, namun ia tidak pernah menghanyutkan hidupan laut.

“Apabila saya datang ke pantai pagi tadi, saya dapati ramai pengunjung berpusu-pusu mengutip hidupan laut ini. Namun, hidupan laut ini banyak yang sudah mati dan mula mengeluarkan bau busuk serta dihurung lalat.

“Saya harap ada pihak yang dapat membantu membuang sisa hidupan laut ini kerana ia boleh menjejaskan keindahan pantai yang sering dikunjungi orang ramai pada hari minggu,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.