Nasib Felda United Masih Misteri

Pasukan Felda United masih belum pasti dapat beraksi pada Liga Super musim depan selepas tidak memiliki lesen FAM, namun Lembaga Pengurusan FMLLP sedang mempertimbangkan status kelab tersebut.

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Begitulah nasib yang bakal dihadapi pasukan Felda United sama ada akan kekal beraksi pada Liga Super musim depan atau sebaliknya.

Keputusan mengenai nasib Felda United itu bakal terjawab hari ini atau esok selepas Lembaga Pengurusan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bakal membuat pertimbangan ke atas pasukan berstatus kelab yang tidak mempunyai lesen Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersebut.

Sebelum ini dilaporkan, status Felda United untuk beraksi di pentas Liga Super belum diketahui selain satu lagi kelab iaitu T-Team yang dijenamakan sebagai Terengganu Football Club II (TFC II) dan akan bermain dalam Liga Premier musim depan.

Status kedua-dua kelab itu menyebabkan tinggal 10 pasukan yang akan bersaing pada Liga Super setakat ini. Namun Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menolak sebarang kemungkinan hanya 10 pasukan bermain dalam liga divisyen nombor satu Malaysia itu.

“Hari ini (semalam) pihak Lembaga Pengurusan FMLLP mengambil keputusan untuk melanjutkan pertimbangan berhubung status Felda United yang tidak memiliki lesen bagi bermain pada Liga Super musim depan.

“Disebabkan perkara ini, FMLLP masih belum dapat membuat sebarang keputusan, tetapi semua itu akan terjawab dalam tempoh sehari dua lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.