Jurugambar ‘Sekolahkan’ Pengguna iPhone 8 Angkuh

Seorang jurugambar berkongsi pengalaman beliau berdepan dengan pengguna iPhone 8 yang disifatkan sebagai seorang yang tidak beradab dan terlalu berbangga dengan telefon pintar yang dimilikinya itu.

Memetik laporan MD, status pengguna Facebook bernama Abd Jalil Jalil tular di laman sosial beberapa hari lalu sehingga mendapat perkongsian lebih 700 pengguna Facebook selepas beliau bertindak ‘sekolahkan’ seorang pemilik iPhone 8.

Menurut Abd Jalil, kejadian berlaku ketika beliau diminta oleh pengguna iPhone 8 berkenaan untuk merakam gambarnya bersama pengantin menggunakan telefon bimbit tersebut pada satu majlis perkahwinan, 26 November lalu.

Mengakui bahawa kebanyakan jurugambar pernah berdepan dengan situasi tersebut, Abd Jalil berkata pada hari kejadian kesabarannya hilang selepas melihat keangkuhan pemilik iPhone 8 berkenaan lalu bertindak memberi “pengajaran” kepadanya.

“Kita akan menghadapi dilema yang mana “penyakit” (tabiat) ini tak boleh dibendung langsung iaitu kamera HP (telefon bimbit) yang mana jurugambar jadi sasaran untuk buat kerja yang tidak ada dalam kontrak.

“Hari ini kesabaran abang teruji apabila ada seorang yang suruh abang shoot gambar dia bersama pengantin… dia kata, “iPhone 8 miliknya mahal, baru beli katanya… pegang baik ye”.

“Lalu secara spontan abang jawab, maaf dik, abang tak boleh lepaskan gengaman kamera ini… yang abang pegang seerat-eratnya, kamera ini satu set harganya RM31,500.

“Abang tak boleh pegang sebelah tangan, takut jatuh nanti. Kau suruh budak yang itu (tetamu lain) ambil gambar kau,” tulis Abd Jalil yang memaklumkan pemilik iPhone itu terkedu selepas mendengar kata-kata ‘pedasnya’ itu.

Beliau menjelaskan sepatutnya mereka yang mahu meminta tolong dengan seseorang perlu lebih berbudi bahasa dan bukannya berlagak dengan apa yang dimiliki.

“Tak payah cerita kamera kau iPhone 8 mahal… (kena) pegang baik-baik ye. Kadang-kadang kita kena ajar juga orang yang sebegini.

“Jadi harapan abang pada semua jurugambar, sama-samalah kita hadapinya dengan bijaksana,” nasihat Abd Jalil.

Rata-rata netizen menyokong tindakan Abd Jalil itu membidas pemilik iPhone berkenaan, selain berpendapat semua orang perlu lebih berhemah ketika berurusan atau mahu meminta pertolongan dengan orang lain.

Jadi perkara paling penting di sini, tidak kira semahal, semewah ataupun semurah mana barang yang anda miliki, sentiasalah berbudi bahasa dan menghormati orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.