Video: PPBM Gagal Di Pagoh

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal merekrut ahli-ahli Umno di Pagoh untuk menyertai mereka walaupun Presiden PPBM Muhyiddin Yassin merupakan bekas Ketua Umno Bahagian tersebut.

 

Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed juga menyatakan kesediaan untuk menentang Muhyiddin sekiranya pucuk pimpinan tertinggi Umno meletakkan beliau sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke -14 akan datang.

 

“Memang ada sertai parti baharu (PPBM) tetapi tidak ramai. Muhyiddin dulu menerapkan kesetiaan kepada parti dan pemimpin cawangan bersama-sama pemimpin sayap masih setia bersama Umno,” katanya ketika ditemui Berita Daily di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 hari ini.

 

Ismail bagaimanapun berkata daripada sekitar 1,000 keanggotaan PPBM di Pagoh, hanya sebilangan kecil ahli mereka merupakan bekas ahli Umno.

 

“Angka jelas kita tiada. Ahli PPBM ada lebih kurang 1,000. Dalam program-program mereka yang mempunyai kehadiran pemimpin besar pun tak ramai.

 

“Banyak ahli campuran. Kita lihat ahli mereka yang benar-benar daripada Umno tak ramai dan itu memang memeranjatkan mereka (PPBM),” katanya.

 

Ismail berkata, Muhyiddin bagaimanapun masih lagi pulang ke kawasan tersebut sekali dalam sebulan untuk bersama penduduk kerusi Parlimen itu untuk menunaikan solat Jumaat.

 

“Saya lihat beliau masih balik kawasan. Hari jumaat untuk semabahyang Jumaat sebulan sekali. Sokongan agak merosot. Jauh semasa dia bersama kita. Orang Pagoh tak dapat menerima sepenuhnya apa yang dilakukan ini,” kata Ismail.

 

Ismail dilantik memangku tugas ketua Umno Bahagian sejurus pemecatan Muhyiddin daripada Umno susulan menyerang Presiden Umno dan Perdana Menteri Najib Razak membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad.

 

Beliau kemudiannya bersama-sama mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menubuhkan PPBM dalam usaha menumbangkan kerajaan melalui kerjasama bersama pembangkang.

 

“Saya tidak ada halangan. Kalau itu keperluan saya tanding atau sesiapa pun. Sebagai ketua di Pagoh saya yang sepatutnya menempuh Muhyiddin,” kata Ismail ketika ditanya sama ada beliau sedia menentang bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam PRU14.

 

“Saya penuh yakin. Tiada masalah masyarakat menyokong saya. Dengan jentera dan sokongan yang ada kita yakin boleh menang.”-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.