Terengganu Sedia Peruntukan RM2.103 Bilion Untuk Bajet 2016

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.103 bilion dengan jangkaan hasil diperoleh sebanyak RM2.02 bilion bagi Bajet 2016.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, bajet defisit bertemakan ‘Menjayakan Transformasi Mensejahterakan Rakyat’ 2016 adalah lebih kecil berbanding peruntukan tahun ini iaitu sebanyak RM2.4 bilion.

 

“Walaupun ada sedikit pengurangan dalam bajet kali ini, iaitu sebanyak 15.33 peratus (RM380 juta), soal bantuan kepada rakyat tiada pengurangan malah kita akan tambah. Kita mahu memastikan apa sahaja yang berlaku dalam krisis ekonomi negeri dan negara, rakyat tidak akan hadapi masalah, tidak terasa.

 

“Cuma langkah yang diambil oleh kerajaan negeri ialah penjimatan dengan mengurangkan aspek pembangunan dan kita kurangkan 30 peratus aspek pengurusan. Walaupun berlaku defisit sebab perbelanjaan kita melebihi pendapatan, secara tidak langsung, kesejahteraan rakyat masih seperti biasa,” katanya.

 

Ahmad Razif berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas membentangkan Rang Enakmen Perbekalan (2016) pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Dun ke-13 di Wisma Darul Iman, semalam.

 

Beliau berkata, bajet yang kadarnya lebih rendah berbanding RM2.4 bilion tahun ini dirangka dengan mengambil kira pandangan dan kemahuan rakyat melalui pelbagai saluran.

 

“Bajet yang dicadangkan oleh kerajaan adalah bajet yang menyeluruh merangkumi semua aspek dan perkara malah kita tidak tinggalkan apa yang telah dibuat malah kita teruskan walaupun ada penambahbaikan

 

“Ini menunjukkan walaupun kerajaan sedia maklum bahawa tahun depan kita akan mengalami kekurangan pendapatan negeri, tetapi dalam soal menyejahterakan rakyat kita tak kompromi, jadi kita teruskan projek-projek yang beri impak baik kepada rakyat tetapi kita kurangkan pembangunan,” katanya.

 

Ahmad Razif berkata, Bajet 2016 digerakkan dengan lima strategi iaitu melonjakkan pertumbuhan melalui Transformasi Terengganu Baharu (TTB), pengurusan perbelanjaan awam yang cekap lagi berhemat, pengukuhan program pengupayaan berteraskan ekonomi keperluan rakyat, pembinaan kapasiti sumber modal insan yang berdaya tahan dan peningkatan kemudahan awam yang mendamaikan hidup rakyat.

 

Beliau berkata, sebanyak RM2.103 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus dengan RM1.139 bilion untuk pembangunan dan RM8.88 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

 

Katanya, di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM85.59 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM2.017 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

 

Selain itu, beliau berkata, peruntukan Perbelanjaan Bekalan pula sebanyak RM1.531 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM2.017 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

 

“Di bawah Perbelanjaan Bekalan pula sebanyak RM1.531 bilion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM267.2 juta untuk perbelanjaan Emolumen, RM202.02 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM16.42 juta untuk Aset dan RM1.16 juta untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

 

“Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM700 juta akan di carum kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan, RM204 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, RM183.37 juta bagi pemberian kepada Pelbagai Agensi dan Kumpulan Wang, RM51.57 juta bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM338.24 juta bagi pelbagai program yang memberi impak terus kepada rakyat,” katanya.

 

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, dari segi agihan mengikut sektor-sektor pembangunan pula sebanyak RM560.57 juta atau 49 peratus untuk sektor sosial yang meliputi sub-sektor pendidikan, pembangunan masyarakat, perumahan, pembangunan bandar dan luar bandar, kerajaan tempatan, sukan dan kesihatan.

 

Selain itu, katanya, RM232.25 juta atau 20 peratus disediakan untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sub-sektor pelancongan, pertanian, IKS, infrastruktur dan kemudahan awam serta RM354.15 juta atau 31 peratus diperuntukkan untuk sektor pentadbiran yang meliputi sub-sektor pembangunan ICT, pentadbiran am dan projek khas. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.