PDRM Sahkan Filipina Tahan Dua Suspek Bunuh Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR  – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua suspek di­percayai anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan jurutera elektrik, Bernard Then Ted Fen di Indanan, Kepulauan Jolo, Filipina pada 18 November lalu telah ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

 

Sebuah portal berita di Filipina, Philippine Daily Inquirer melapor­kan, suspek pertama, Saddam Jailani diberkas di pelabuhan Pulau Jolo pada Jumaat lalu manakala suspek kedua, Kadaffy Kamsa ditahan kelmarin ketika mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di pulau berkenaan akibat kecederaan dalam kemalangan.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai penahanan kedua-dua suspek dan akan menghantar permohonan untuk mengekstradisi mereka dalam masa terdekat.

 

“Setakat ini kita telah membuat permohonan secara lisan dan sedang menyiapkan dokumen permohonan rasmi bagi membawa mereka ke negara ini untuk dihadapkan di mahkamah di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini hari ini.

 

Pada 18 November lalu, beberapa portal di Filipina melaporkan bahawa Bernard, 39, dipenggal kepalanya kira-kira pukul 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, kira-kira 1,400 kilometer dari selatan Manila.

 

Bernard dan seorang wanita yang juga pemilik restoran, Thien Nyuk Fun, 50, diculik empat lelaki bersenjata, yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan pada jam 7.45 malam pada 14 Mei lalu.

 

Bagaimanapun, pada 8 November, Nyuk Fun dibebaskan kumpulan penculik tersebut berikutan rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan pihak terbabit.

 

Mengulas lanjut Khalid memberitahu, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Fili­pina berkenaan permohonan lisan yang dibuat sebelum menghantar pegawai ke republik tersebut.

 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, terdapat sekurang-kurangnya 11 cubaan serangan daripada penjenayah dan pengganas di kawasan Pantai Timur Sabah sepanjang tahun ini.

 

Ujarnya, pihak keselamatan perlu lebih berwaspada dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi ancaman di kawasan tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.