Mayat Seorang Mangsa Lemas Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR – Polis mengenal pasti identiti mayat seorang remaja lelaki Remy Julian Raymond Joe, 14, yang ditemui di Tasik Muhibbah, di Cheras merupakan seorang daripada mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Kuyoh berdekatan Kem Perdana Sungai Besi, petang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata mayat mangsa ditemukan  pasukan bomba di tasik berkenaan pada kira-kira 10.30 pagi tadi.

 

“Remy Julian ditemukan kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian di sungai berkenaan.

 

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas, di sini, hari ini.

 

Kok Sin berkata, pihak keluarga mangsa telah dimaklumkan penemuan mangsa di tasik berkenaan dan pengecaman telah dibuat oleh mereka pagi tadi.

 

“Operasi SAR mencari lagi dua mangsa masih diteruskan melibatkan 182 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

 

“Setakat ini operasi pencarian lagi dua mangsa tertumpu di Tasik Muhibah yang berkeluasan 1,750 meter persegi,” katanya.

 

Dalam kejadian 5.30 petang semalam, dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki hilang dibawa arus deras ketika sedang memancing di sungai berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.