Arul Kanda Hadir Beri Keterangan Kepada PAC

KUALA LUMPUR – Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tampil memberi keterangan buat julung kalinya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hari ini.

 

Arul Kanda tiba di bangunan Parlimen kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan prosiding bermula jam 11 pagi di hadapan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin dan ahli jawatankuasa PAC.

 

“Ya, kami sudah bersedia untuk prosiding,” kata Arul Kanda ringkas sambil tersenyum di dalam bilik sidang media, sebelum prosiding bermula.

 

Sidang media dijangka diadakan jam 2 petang nanti.

 

Sebelum ini, Arul Kanda dilaporkan telah dipanggil PAC sebanyak dua kali, iaitu pada Mei dan Ogos lalu, untuk memberi keterangan berkaitan syarikat itu, namun beliau gagal hadir.

 

Semalam, PAC memanggil bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MBD, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan berhubung pembentukan 1MDB yang dilaporkan berlaku pada 2009, ketika di bawah pengurusan beliau.

 

Hasan dilaporkan sebagai berkata, laporan akhir Ketua Audit Negara terhadap 1MDB dijangka dibentangkan kepada pihaknya pada 17 Disember ini.

 

Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memberi keterangan kepada PAC, selepas mendengar Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

 

Oleh itu, katanya, PAC dijanga dapat menyiapkan laporan lengkap 1MDB pada Mac 2016. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.