Tony Pua Takut Dan Khuatir Pada Noh Omar

Kuala Lumpur – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar percaya rakan sejawatnya, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua takut kepadanya dan khuatir terhadap keupayaan beliau mengetuai UMNO negeri itu.

Noh berkata, beliau ‘menyambut baik’ kenyataan Pua, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, yang berkata Pakatan Rakyat (PR) akan kekal selesa selagi beliau mengetuai UMNO negeri itu.

“Maksud tersirat Tony Pua itu saya yakin dia takut dengan saya, dia tahu cara saya diam-diam begini.

“Kalau betul dia seronok tak mungkin dia buat kenyataan begitu,” kata Ahli Parlimen BN Tanjung Karang itu kepada The Rakyat Post.

Tambah Noh, kemungkinan besar Pua tentunya bersyukur dengan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Selangor di bawah kepimpinan beliau jika membolehkan PR memerintah negeri berkenaan lebih lama.

Namun, kenyataan itu boleh juga mengakibatkan kesan negatif yang mendatangkan bala ke atas DAP serta PR di Selangor.

“Baguslah begitu, boleh pakatan perintah lebih lama Selangor selagi saya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

“Cumanya, adakah beliau dah bosan dan jemu perintah Selangor sampai keluar kenyataan begitu, sebab nanti bila saya ditukar, mungkin pakatan tidak lagi dapat tadbir Selangor,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, Ahad.

Pua ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2014 di Petaling Jaya pagi tadi berkata, selagi Noh kekal memegang jawatan ketua UMNO Selangor, PR akan terus selesa memerintah negeri itu.

Malah beliau yakin pakatan akan dapat memulihkan kepercayaan pengundi serta rakyat Selangor ekoran tamatnya kemelut perebutan kerusi menteri besar Selangor.

“Selagi Datuk (Seri) Noh Omar kekal memegang jawatan ketua UMNO Selangor dan selagi UMNO tidak dapat melantik pemimpin yang lebih cekap, bijak dan berkesan, Pakatan Rakyat berpeluang besar untuk berjaya dalam matlamat kita memulihkan sokongan daripada rakyat Selangor,” kata Pua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.