Tarikh Perbicaraan Chong Wei Mungkin Ditangguh

Cheras – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telahpun memaklumkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa tarikh pendengaran perbicaraan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Amsterdam pada 8 Disember, namun peguam yang mewakili Datuk Lee Chong Wei berkemungkinan akan meminta penangguhan tarikh tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika ditanya wartawan mengatakan beliau telah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria bahawa tarikh pendengaran perbicaraan untuk pemain badminton negara itu pada 8 Disember di Amsterdam.

“Peguam Chong Wei yang dilantik oleh BAM sendiri, telah menulis surat ke BWF supaya sesi perbicaraan tersebut dapat ditangguhkan dan ditunda untuk peguam tersebut menyediakan butiran kes Chong Wei (dengan) lebih terperinci. Dia perlukan sedikit masa.

“Ini disampaikan sendiri oleh Datuk Norza, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas yang dilantik untuk tangani isu tersebut,” ujarnya ketika ditemui selepas penyerahan Watikah kepada 120 Ahli Parlimen Belia di Pusat Belia Antarabangsa di sini petang tadi.

Malah Khairy menjelaskan, “Saya dimaklumkan, BAM belum lagi menerima jawapan sama ada permohonan ditunda perbicaraan itu dipersetujui atau tidak oleh BWF,” ujarnya.

Baru-baru ini ujian sampel B Chong Wei disahkan positif mengandungi dexamethasone yang biasanya terkandung dalam ubat tahan sakit. Dadah itu tidak berfungsi sebagai bahan untuk meningkatkan prestasi seseorang atlet.

Pemain itu yang didapati positif semasa Kejohanan Dunia pada Ogos lalu telah menyaksikan sendiri ujian sampel B dilakukan di sebuah makmal di Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lepas.

Peluang Chong Wei untuk bebas daripada kesalahan doping adalah tipis jika kes pemain No. 1 dunia itu dibawa ke CAS.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar sebaliknya menyarankan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar menyelesaikan perkara tersebut dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tunku Imran secara peribadi berpendapat, sekiranya perkara itu dibawa ke CAS sudah pasti Chong Wei akan dikenakan hukuman penggantungan memandangkan kedua-dua sampel urin pemain itu jelas memiliki kandungan bahan terlarang dan ia tidak dapat dinafikan.

Katanya, antara kaedah lain yang boleh digunakan ialah Chong Wei secara bersendirian atau bersama pegawai kanan atau Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff perlu mengadakan pertemuan bersama BWF bagi membincangkan isu itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.