Sultan Selangor Kecewa, Aset Canggih Tentera Tidak Digunakan

Klang – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meluahkan rasa kecewa melihat aset-aset canggih yang dimiliki oleh tentera Malaysia tetapi tidak boleh digunakan.

Baginda bertitah, peralatan dan persenjataan harus sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan bagi menghadapi musuh yang memberi ancaman kepada negara.

Malangnya, kekurangan peruntukan yang mencukupi menyebabkan aset-aset canggih tersebut tidak diselia dan diselenggara dengan baik.

“Adalah amat mengecewakan jika memiliki aset yang maju dan canggih tetapi tidak boleh digunakan dan disimpan di dalam stor atau gudang kerana tidak mempunyai alat ganti disebabkan kekurangan kewangan,” titah baginda.

Baginda yang juga merupakan Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertitah demikian di Majlis Santapan Diraja Kapten Yang Dipertua TLDM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Istana Alam Shah di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut soal integriti pegawai-pegawai tentera, baginda meminta semua yang terlibat dalam menjaga soal keselamatan negara berkhidmat dengan jujur dan ikhlas serta mengutamakan kualiti kerja yang cemerlang.

“Gejala rasuah, salah guna kuasa dan mengutamakan kepentingan peribadi hendaklah dielakkan,” titah baginda.

Baginda turut memuji langkah yang diambil kerajaan dengan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan meminta ia diperluaskan dari masa ke semasa.

Majlis tersebut dihadiri Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Roslan Saad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kira-kira 800 pegawai TLDM, TUDM dan PDRM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.