Saya Amat Kecewa, Seolah-olah Telah Menoktahkan Hubungan Kami – Sherry

Petaling Jaya – Sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu melaporkan hubungan Sherry Ibrahim dan Fattah Amin sudah pun berakhir. Ini berikutan Sherry telah membuang ke semua gambar dia bersama aktor tersebut di akaun Instagram miliknya selepas ‘menghidu sesuatu’ mengenai Fattah.

Memetik kenyataan di mStar online hari ini, pelakon berusia 31 tahun ini berkata dia terkejut dan kecewa kerana laporan tersebut tidak benar sedangkan mereka masih lagi menjalinkan hubungan seperti biasa.

“Saya tak tahu nak cakap apa apabila membaca berita itu. Rasa kelakar pun ada. ‘Its a joke of the day’.

“Tetapi saya amat kecewa kerana laporan itu seolah-olah telah menoktahkan perhubungan kami tanpa sebarang kenyataan daripada saya mahupun Fattah,” katanya.

Tambahnya, ada sebab mengapa dia membuang foto-fotonya bersama Fattah, dan perkara itu tidak bermakna mereka sudah tidak lagi berhubungan cinta.

“Saya ada sebab sendiri yang tidak perlu dijelaskan kepada umum.

“Kami bukannya pasangan suami isteri, jadi tak mahulah hubungan ini nampak berlebih-lebih. Tambah pula kami perlu menjaga hati keluarga masing-masing.

“Yang penting umum tahu bahawa kami menjalinkan hubungan, itu sudah cukup. Dan tak elok rasanya apabila sesebuah perhubungan itu terlalu didedahkan. Apa-apapun kami tidak melatah dengan gosip itu,” tegasnya.

Sherry dan Fattah mula menjalinkan hubungan ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran drama 130 episod, Cinta Ibadah Jun lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.