Pengerusi Asean: Thailand Akan Beri Kerjasama Pada Malaysia

Putrajaya – Thailand akan memberikan kerjasama sepenuhnya apabila Malaysia memulakan kepengerusian Asean tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi hos makan tengah hari untuk Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha di Seri Perdana sempena dengan lawatan rasmi Prayut Isnin.

Malaysia secara rasmi akan mengambil alih kepengerusian Asean mulai 1 Jan 2015.

Ia akan menandakan peranan penting Malaysia dalam merealisasikan Komuniti Asean dan dalam membangunkan pasca Wawasan 2015 komuniti itu.

Najib berkata Thailand juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana terpilih menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC).

Malaysia memenangi kerusi itu di dalam Perhimpunan Agung PBB di New York Oktober lalu, dengan mendapat 187 daripada sejumlah 192 undi.

Ahli-ahli baru akan menduduki kerusi berkenaan pada 1 Jan, 2015 untuk berkhidmat dalam Majlis itu sehingga 31 Dis 2016.

Keanggotaan Malaysia di UNSC kali ini merupakan kali keempat. Kali pertama pada tahun 1965 dan dipilih semula menyertai majlis itu pada 1989 hingga 1990. Ia menduduki kerusi itu buat kali ketiga pada 1999 sehingga 2000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.