Harga Diesel Naik 3 Sen Sebab Kerajaan Banyak Tampung Subsidi – Hasan Malek

Kampar – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kenaikan harga runcit diesel sebanyak tiga sen seliter bermula Isnin disebabkan kerajaan telah banyak menampung subsidi sebelum ini.

“Dari segi diesel ini, subsidi yang diberikan terlalu besar. Oleh kerana itu bila kita kaji dan bincang semula, kita tidak boleh turunkan harga.

“Berdasarkan pengapungan harga ini, tiada pilihan bagi kita untuk naikkan harga tiga sen seliter,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar raya Giant baharu di sini, Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan memantau pasaran harga pada bulan ini bagi menetapkan harga runcit petrol dan diesel untuk bulan berikutnya.

“Kita akan mengkaji beberapa pendekatan baru berdasarkan kepada maklum balas daripada peringkat akar umbi, rakyat,” kata beliau.

Berkuatkuasa Isnin, kerajaan mengumumkan harga runcit RON97 turun sebanyak sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter.

Bagaimanapun, harga runcit bagi minyak diesel dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Harga runcit RON97 kini ialah RM2.55 seliter, RON95, RM2.30 seliter manakala diesel ialah RM2.20 seliter.

Harga baharu ini akan berkuat kuasa hanya untuk Disember.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.