Guna Wang Palsu Beli Telefon Bimbit, Bekas Jururawat Dipenjara 8 Tahun

Kota Bharu – Padah buat seorang bekas jururawat akibat menggunakan wang palsu untuk membeli sebuah telefon pintar, dia dihukum penjara lapan tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Nor Aziarina Ismail, 31, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.
Nor Aziarina didakwa menggunakan 16 keping not RM100 palsu berjumlah RM1,600 sebagai tulen dan membeli telefon bimbit jenis iPhone 5 dari Mohamad Nabil Aiman Abd Wahid, 19, di hadapan sebuah stesen minyak di Melor, di sini, pada jam 11.30 malam, 18 November tahun lalu.
Pengadu sebelum itu mengiklankan telefon berkenaan di laman sesawang dan dihubungi tertuduh yang menyatakan hasrat ingin membeli telefon berkenaan. Mereka kemudian berjumpa dan pengadu menyerahkan telefon itu serta tertuduh membayar RM1,650, lalu beredar tergesa-gesa.
Pengadu masuk ke dalam kereta untuk mengira wang dan mendapati sekeping RM50 diletakkan di atas 16 not RM100 yang mempunyai no siri sama dan disyaki palsu.
Tertuduh dihubungi, namun tidak berjaya. Pengadu pergi ke bank untuk mendepositkan wang terbabit, tetapi hanya RM50 yang diterima mesin, manakala yang lain sebaliknya.
Pada prosiding semalam, tertuduh melalui peguamnya merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia penjawat awam dan sudah hampir setahun berada di penjara.
Tertuduh juga mempunyai dua anak yang masih kecil yang kini berada di bawah jagaan mentuanya.
Rayuan pihak pembelaan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azahari yang memohon hukuman berat dengan hujah tertuduh sepatutnya menjaga amanah serta integriti sebagai penjawat awam.
Hukuman tersebut diarah berkuatkuasa semalam.
Dia sedang menjalani hukuman penjara terhadap dua kesalahan sama.
Sebelum ini, suaminya turut dituduh memproses wang palsu dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.