Dewan Negara Lulus Enam Rang Undang-undang

Kuala LuUmpur – Persidangan Dewan Negara pada Isnin meluluskan enam undang-undang termasuk satu rang undang-undang baharu iaitu Rang Undang-undang Penghasilan Bersih Perjanjian Kewangan 2014.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan semasa membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua berkata ia memberi keyakinan kepada institusi kewangan antarabangsa untuk berurusan dengan institusi kewangan domestik melalui pengiktirafan Malaysia sebagai negara yang mempunyai bidang kuasa mesra penghasilan bersih.

“Penggubalan undang-undang ini amatlah penting bagi memberikan jaminan mutlak kepada peserta pasaran kewangan domestik dan antarabangsa sama ada institusi kewangan perbankan, insurans, pengurusan dana atau syarikat awam dan swasta untuk menguatkuasakan mekanisme penghasilan bersih penamat apabila berlaku keingkaran di bawah sesuatu perjanjian.

“Mekanisme ini membolehkan hanya satu pihak perjanjian kewangan sahaja yang perlu membayar suatu amaun bersih tunggal bagi semua transaksi yang telah dibuat di bawah perjanjian itu,” katanya.

Beliau berkata tanpa mekanisme itu, kedua-dua pihak perlu membuat pembayaran penuh bagi setiap transaksi yang dibuat di bawah perjanjian itu.

Persidangan Dewan Negara turut meluluskan pindaan tiga rang undang-undang di bawah seliaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu Rang Undang-undang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Pindaan) 2014, Rang Undang-undang Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) 2014 dan Rang Undang-undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2014.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pindaan itu dibuat bagi memasukkan peruntukan berhubung pelantikan pendaftar, penolong pendaftar atau pekerja ke dalam Akta SSM.

Langkah itu juga bagi memastikan SSM dapat menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan dan efisyen selaras dengan inisiatif SSM bagi menyelaras dan menyeragamkan semua peruntukan penguatkuasaan untuk semua akta di bawah kawal selianya.

Selain itu, Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2014 dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2014 turut diluluskan.

Persidangan dewan bersambung esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.