Battersea Pacu Lebih Banyak Projek Pembangunan Semula Di London

Kuala Lumpur – Pembangunan projek ikonik Battersea Power Station milik Malaysia di London akan membuka lebih banyak projek pembangunan semula yang boleh dilaksanakan di kota itu, kata Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Katanya, projek itu turut memberi impak psikologi terhadap London dengan membuktikan bahawa tiada sebarang sekatan terhadap projek pembangunan semula dalam ibu kota itu dan stesen tenaga juga boleh diubah kepada restoran, hotel serta panggung teater.

“Ini membolehkan kami meneruskan lebih banyak lagi projek pembangunan semula di sekitar London dengan pembinaan ribuan rumah lagi,” katanya pada sesi dialog bertajuk “A Tale of Two Great Cities: KL & London”, di sini, Isnin.

Pemilik Projek Battersea Power Station adalah Battersea Project Holding Co Ltd (BPHC) yang mana masing-masing 40 peratus kepentingan dikuasai SP Setia Bhd dan Sime Darby Bhd manakala selebihnya milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bekas Presiden SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin yang juga Pengerusi BPHC, berkata pembangunan bagi fasa lima, enam dan tujuh akan dimulakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun kerana kawasan tanah yang belum dimajukan itu menjadi tempat simpanan projek pembinaan sambungan laluan kereta api arah utara yang dijadualkan bermula pada Mac 2015.

Pada masa ini, kata Liew, 55 peratus daripada kawasan tanah berkeluasan 16.19 hektar itu telah dimajukan.

“Hartanah bernilai RM10 bilion telah dijual yang mana 60 peratus pembelinya adalah pemegang pasport United Kingdom sekali gus membuktikan penduduk tempatannya turut menerima projek itu serta pemilikan Malaysia ke atasnya,” katanya.

Merujuk peratus pembelian projek, sebanyak 99 peratus fasa satu sudah dijual, 90 peratus bagi fasa kedua manakala 50 peratus bagi fasa ketiga.

Mengenai kemungkinan Liew terus mengemudi projek itu selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada September 2015, beliau berkata ia terpulang kepada keputusan para pemegang saham.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan detik bersejarah bagi Malaysia lewat hari ini berhubung pemilihan reka bentuk bagi projek Malaysia Square di Battersea Power Station berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.