Azra Mulakan Petisyen Online Untuk Keadilan Socky Yang Dibunuh Kejam

Kuala Lumpur – Pemilik kucing yang dibunuh secara kejam memulakan petisyen online untuk mendapatkan keadilan untuk kucing kesayangannya, Socky.

Petisyen ‘Justice for Socky’ yang dibuat oleh Azra Azreen, dikhususkan untuk kerajaan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia dengan harapan pihak berkuasa mencari mereka yang bertanggunjawab mendera kucing itu sehingga mati.

Dia memulakan petisyen itu Jumaat lalu (28 November) dan mensasarkan untuk mendapatkan 10,000 tandatangan.

Sehingga kini ,Azra berjaya mendapatkan lebih 4,000 tandatangan pembaca dari Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah selain dari Malaysia dan Singapura yang memberikan sokongan mereka.

Dalam kejadian yang berlaku pada 24 November lalu di Taman Inderawasih di Seberang Prai, Pulau Pinang, Azra yang baru pulang dari kerja mendapati Socky terbaring kaku di taman berdekatan rumahnya.

Leher dan kedua-dua kaki hadapan Socky dijerut dengan tali dan suratkhabar manakala ususnya terkeluar.

Selain daripada berkongsi gambar dan kejadian di laman Facebooknya, Azra juga telah memberitahu pihak berkuasa dan membuat laporan polis tetapi diberitahu tiada tindakan boleh dibuat melainkan ada saksi yang tampil memberi keterangan.

Dalam kemas-kini status, Azra turut memberikan suratkhabar kepada pihak polis untuk mendapatkan cap jari mereka yang melakukan perkara kejam terhadap haiwan kesayangannya itu.

“Namun pihak polis tidak berbuat apa-apa. Mereka tidak mahu ‘scan’ atau menyimpan gambar kucing saya sebagai bukti,” tulisnya.

Azra juga berkata kejadian mendera haiwan bukan pertama kali yang berlaku di kawasan perumahan itu.

Dia kemudian membuat keputusan mengadakan petisyen untuk menggesa kerajaan dan polis supaya melihat kes mendera haiwan sebagai kes serius dan mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan penderaan itu.

One thought on “Azra Mulakan Petisyen Online Untuk Keadilan Socky Yang Dibunuh Kejam

  • July 24, 2015 at 6:18 pm
    Permalink

    justice needed to be done.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.