Siti Aishah janji pulang ke pangkuan keluarga – Kakak

SEPANG 1 Dis. – Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang didakwa dijadikan hamba oleh sepasang suami isteri di London, berjanji akan pulang ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani tempoh penahanan selama sembilan bulan.

Kakaknya, Kamar Mahtum, 73, berkata, Siti Aishah ketika ini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kematian Sian Davies pada 1997 yang dipercayai menjadi hamba kepada sepasang suami isteri, Aravindan Balakrishnan, 73 dan Chanda Pattni, 67 di Lambeth, London sejak 30 tahun lalu.

Siti Aishah bersetuju untuk pulang selepas dipujuk oleh Kamar Mahtum dalam satu pertemuan hampir sejam di lokasi rahsia di negara itu yang dikawal ketat bagi mengelak sebarang maklumat bocor sehingga boleh mengganggu siasatan.

Menurut Kamar Mahtum, Siti Aishah mulanya enggan pulang ke tanah air kerana mendakwa banyak urusan yang perlu diselesaikan di London terutamanya kerja-kerja kemasyarakatan.

“Setelah dipujuk dan menyatakan keluarga di Malaysia begitu rindukan dia, akhirnya Siti Aishah akur dan bersetuju pulang, namun perlu menunggu sehingga siasatan selesai yang memakan masa sembilan bulan.

“Saya gembira selepas Siti Aishah berjanji untuk pulang, kami sekeluarga amat merinduinya selepas hampir 40 tahun berpisah. Dia ada menulis satu nota ringkas kepada keluarga di Malaysia, namun saya tidak dapat kongsi kandungannya kerana terlalu peribadi.

“Dia juga sihat fizikal dan lebih gemuk dari saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 7.30 pagi ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.